Covid-19: Kanak-kanak, remaja diberi suntikan dos ketiga

Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Khairy Jamaluddin Abu Bakar
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun dalam kategori kurang daya tahan imun sederhana hingga teruk(immunocompromised) akan diberikan suntikan ketiga dos vaksin Covid-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, turut menerima dos ketiga adalah golongan berusia 12 hingga 17 tahun dalam kategori sama.

"Suntikan dos ketiga bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun adalah lapan minggu selepas menerima dos kedua manakala golongan remaja pula selepas 28 hari," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, kajian dari luar negara menunjukkan tahap keberkesanan vaksin terhadap kemasukan ke wad dalam kalanganremaja setelah lima hingga 10 bulan menerima dos yang kedua, menurun sebanyak 42 peratus hingga 73 peratus.

"Susulan itu, Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG) bagi Vaksin Covid-19 telah membincangkan perkara ini dan mencadangkan agar dos ketiga vaksin Covid-19 untuk melengkapkan vaksinasi primer tiga dos diberikan kepada golongan tersebut," katanya.

Beliau berkata, setelah melengkapkan vaksinasi primer tiga dos, barulah dos penggalak pertama boleh diberikan kepada individu moderate atau severe immunocompromised berumur 12 hingga 17 tahun.

"Dos penggalak diberikan selepas tiga bulan mereka melengkapkan tiga dos primer," katanya.

Khairy berkata, pemberian dos penggalak kedua bagi individu berisiko tinggi berumur 18 hingga 59 tahun dan petugas kesihatan barisan hadapan turut akan diberikan.

"Pengambilan dos penggalak kedua boleh dibuat selepas sekurang-kurangnya enam bulan selepas menerima dos penggalak pertama dan setelah berbincang dengan mana-mana pengamal perubatan berdaftar," katanya.

Ujarnya, pemberian vaksin Can Sino Bio sebagai dos penggalak secara heterologus akan diperluaskan tanpa mengira jenis vaksin dos primer.

"Kriteria kelayakan bagi penerima dos penggalak Can Sino Bio adalah individu berumur 18 tahun dan ke atas yang telah menerima vaksin primary series selain daripada vaksin jenis Can Sino Bio dan Sinovac yang telah diluluskan sebelum ini serta sekurang-kurangnya tiga bulan selepas menerima dos kedua," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!