Terbuka Malaysia: Zii Jia tepati ramalan mara pusingan kedua

Zii Jia ketika beraksi pada pusingan pertama Terbuka Malaysia 2022. - Foto BAM
Zii Jia ketika beraksi pada pusingan pertama Terbuka Malaysia 2022. - Foto BAM
A
A
A

PERSEORANGAN utama lelaki negara, Lee Zii Jia menepati ramalan mara ke pusingan kedua Terbuka Malaysia selepas menumpaskan wakil Ireland, Nhat Nguyen pada pusingan pertama yang berlangsung di Axiata Arena, sebentar tadi.

Pemain yang berada di ranking kelima dunia itu tidak berdepan masalah apabila menang ke atas lawannya itu secara straight set 21-15 dan 21-11 dalam tempoh sekitar 50 minit permainan.

Selain Zii Jia, beregu lelaki utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik turut berjaya lolos ke pusingan kedua kejohanan Terbuka Malaysia 2022 selepas menumbangkan gandingan Jepun Akira Koga- Taichi Saito sebentar tadi.

Pasangan itu memenangi perlawanan itu secara straight set 21-18, 21-19 dalam perlawanan yang berlangsung selama 42 minit.

Menanti Aaron-wooi Yik di pusingan kedua ialah beregu Singapura, Terry Hee Yong Kai dan Loh Kean Hean yang berjaya menundukkan gandingan Korea Kang Min-hyuk dan Seo Seung-jae selepas menang straight 21-14, 21-19.

Turut mara mengikut jejak langkah pasangan negara yang berada di ranking keenam dunia itu ialah wakil beregu utama wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang menyingkirkan Liu Xuan Xuan-Xia Yu Ting dari China menerusi kemenangan 22-20, 21-13.

Menanti mereka di pusingan kedua adalah satu lagi wakil China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu yang berjaya menidakkan cabaran pasangan Thailand Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai selepas menang 21-10,21-8.

Selain itu, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Valeree Siow berjaya melakar kejutan pada pusingan pertama Terbuka Malaysia apabila menewaskan wakil Jepun yang berada di ranking ke-16 dunia, Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo.

Bagaimanapun, gandingan itu terpaksa bermandi peluh sebelum menoktahkan kemenangan 21-16, 14-21, 21-10 pada perlawanan yang berlangsung selama 54 minit.

Tugas sukar bakal dihadapi gandingan yang berada di ranking ke 209 di pusingan kedua apabila dijadual bertemu pingat emas Olimpik Tokyo 2020 dari China yang juga pilihan kedua kejohanan, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong.

Si Wei-Huang Ya Qiong mara ke pusingan kedua selepas menundukkan beregu negara, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei 17-21, 18-21 dalam perlawanan berlangsung selama 33 minit.

Dalam pada itu hasrat perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong untuk mara ke pusingan kedua tidak kesampaian apabila tewas kepada wakil China, Lu Guang Zu.

Meskipun memberi tentangan sengit, Tze Yong bagaimanapun akur tewas 21-16, 21-23, 21-18 dalam perlawanan yang memakan masa selama satu jam 27 minit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!