Polis sahkan terima laporan Lufya
PETALING JAYA - Polis mengesahkan telah menerima laporan daripada pelakon dan penyanyi, Lufya yang mendakwa dicederakan dengan kayu oleh seorang lelaki dalam cubaan menculik anaknya di sebuah taman permainan di Kota Damansara, Petaling Jaya pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pelakon itu telah membuat laporan di Balai Polis Kota Damansara di sini pada jam 6.59 pagi Rabu.
"Bagaimanapun, kita belum dapat merakam keterangan Lufya kerana dia perlu bergegas ke sebuah lokasi untuk satu urusan penting sebaik selesai membuat laporan polis pagi tadi," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya memandang serius berhubung dakwaan kes cubaan menculik anak artis tersebut.
"Kita perlu rakam keterangannya dengan lebih lanjut bagi membantu siasatan," katanya.
Pada Selasa, media melaporkan Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar, 37, mendakwa berdepan detik cemas apabila dipukul di bahagian kepala dan badan dengan kayu dalam cubaan seorang lelaki menculik anaknya, Laana Haura, 5, di taman permainan terbabit.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Lufya mendakwa, seorang lelaki berbadan besar memukulnya sehingga dia mengalami kecederaan teruk ketika cuba menyelamatkan anaknya itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!