Lubang digali runtuh, buruh tertimbus 3 meter

Mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan penyelamat sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya. Foto Bomba
Mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan penyelamat sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya. Foto Bomba
A
A
A

SEPANG - Seorang buruh Indonesia mengharungi detik cemas apabila terperangkap di dalam sebuah lubang sedalam tiga meter yang tiba-tiba runtuh ketika sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan paip di Laman View, Cyberjaya di sini pada Rabu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, sebuah jentera dan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 2.07 petang.

Menurutnya, setibanya di lokasi pada jam 2.16 petang, mangsa telah diselamatkan oleh rakan sekerjanya yang berada di tempat kejadian.

"Mangsa dikatakan sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan paip dalam lubang yang digali dengan kedalaman dianggarkan sedalam tiga meter.

"Secara tiba-tiba tanah yang digali telah runtuh lalu menimbus sebahagian badan mangsa dari paras pinggang ke bawah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, mangsa merupakan seorang lelaki Indonesia berusia 43 tahun telah diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!