Bakar mangga kunci peti besi

'Pad lock' peti besi yang dibakar penjenayah
'Pad lock' peti besi yang dibakar penjenayah
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki sanggup membakar mangga kunci sebelum melarikan wang tabung Masjid Kampung Baru Tetambah, Manir, di sini.

Pengerusi masjid, Mohd Noor Md Ali berkata, kehilangan wang itu diketahui selepas menerima maklumat melalui aplikasi grup WhatsApp AJK Masjid pada jam 7.20 pagi, Selalu lalu.

"Tanpa berlengah saya bergegas ke masjid sebelum mendapati satu daripada peti besi yang disediakan di dalam masjid sudah dipecah dengan cara membakar 'pad lock'.

"Kesemua wang yang disumbangkan jemaah dipercayai lebih kurang RM150 turut dilarikan kecuali yang ada cuma duit syiling dan sekeping wang kertas RM1 dipercayai tercicir," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, selepas menunaikan solat Subuh pada hari sama, dia terlihat sesuatu yang pelik pada mangga kunci tabung namun tidak mengesyaki apa-apa.

"Penyamun tergamak membakar mangga kunci peti besi semata-mata mahu ambil wang di dalamnya. Ini kejadian curi yang pertama kali berlaku di masjid," katanya.

Mohd Noor berkata, laporan dibuat di Balai Polis Manir selepas melihat seorang lelaki tidak dikenali melakukan jenayah itu melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Memang selama ini kami tak pernah mengunci masjid kerana memberi ruang dan kemudahan kepada orang ramai menunaikan solat pada bila-bila masa. Tapi, kami selalu pastikan tiada barang berharga ditinggalkan termasuk wang sumbangan jemaah tidak akan dibiarkan lama-lama.

Artikel Berkaitan:

"Kebiasaannya, kami akan memungut wang sumbangan di dalam peti besi dan beberapa buah tabung masjid yang diedarkan setiap kali solat Jumaat, seminggu sekali," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!