Haji: Jemaah diingat jaga kebersihan, nama baik Malaysia

 Jemaah haji diingatkan supaya jaga kebersihan dan nama baik Malaysia. - Foto 123RF
Jemaah haji diingatkan supaya jaga kebersihan dan nama baik Malaysia. - Foto 123RF
A
A
A

MAKKAH - Seiring kempen ‘Kebersihan Mencerminkan Kemakburan Haji’, jemaah Malaysia bukan sahaja diingatkan tentang kepentingan bergotong-royong, tetapi juga keperluan menjaga nama baik negara.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Abdul Rahman berkata, ibadah bukan sahaja berkaitan diri sendiri tetapi juga penjagaan persekitaran.

Menurutnya, kempen sama pernah diadakan bermula 2017, dalam operasi di Arafah, Mudzlifah dan Mina sehingga mendapat pujian Menteri Haji Arab Saudi dan selepas itu diteruskan di peringkat kawasan penginapan.

Melalui kempen kebersihan ini, setiap Rabu di maktab (penginapan) akan diadakan program gotong-royong bermula dengan membersihkan bilik masing-masing, surau, lobi dan lorong laluan ke bilik.

"Kita dapat lihat semua jemaah memberi kerjasama yang baik dan bersemangat untuk bergotong-royong di kawasan yang mereka duduki.

"Program ini akan memupuk gotong-royong dan kerjasama sesama jemaah haji dalam menjaga kesejahteraan, keharmonian dan keakraban di kalangan mereka ” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kebersihan melibatkan jemaah dan petugas di Abraj Al Janadriyah yang menempatkan ibu pejabat serta penginapan jemaah.

Syed Saleh berkata, jemaah haji Malaysia perlu mengekalkan budaya kebersihan seperti yang diamalkan jemaah sebelum ini bagi menjaga imej Malaysia di mata dunia dan menjadi contoh kepada jemaah negara lain.

Musim haji tahun ini menyaksikan 14,306 jemaah Malaysia akan mengerjakan rukun Islam kelima itu yang tinggal di lima penginapan di sini dengan dibantu 320 petugas TH.

Sementara itu malam Selasa, 300 petugas TH menyertai majlis bacaan yasin dan solat hajat bagi mendoakan kelancaran operasi masyair di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Ketika itu petugas akan berdepan dengan pelbagai senario bagi menyantuni Tetamu ALLAH di samping keperluan mengerjakan ibadah haji.

Hari Wukuf dijangka bermula kira-kira 10 hari lagi dan segala persiapan rapi sedang diatur termasuk penginapan di khemah serta pergerakan jemaah. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!