Kadar jenayah turun hampir 30 peratus di Petaling Jaya

Fakhrudin ketika menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang anggota terlibat.
Fakhrudin ketika menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang anggota terlibat.
A
A
A

PETALING JAYA - Kadar jenayah di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya mencatatkan penurunan sebanyak 29.96 peratus bermula Januari hingga 28 Jun berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, penurunan tersebut membuktikan pihaknya komited dalam mencegah jenayah dan melindungi masyarakat.

"Perbandingan jenayah indeks bagi tempoh 1 Januari hingga 28 Jun 2021 mencatatkan sebanyak 2,333 kes manakala bagi tempoh sama tahun ini sebanyak 1,634 kes menunjukkan penurunan 699 kes atau 29.96 peratus.

"Penurunan ini menunjukkan komitmen kita dalam menangani jenayah di Petaling Jaya dan kini, dalam usaha meningkatkan persepsi masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di IPD Petaling Jaya selepas menyempurnakan perhimpunan bulanan pasukan itu di sini.

Dalam perhimpunan itu, seramai dua pegawai rendah polis dinaikan pangkat dari sarjan mejar kepada sub inspektor, empat orang sarjan dinaikan kepada sarjan mejar, dan 13 anggota berpangkat koperal dinaikan kepada pangkat sarjan manakala beberapa anggota turut diberikan sijil penghargaan kerana bekerja cemerlang.

Mengulas lanjut Fakhrudin berkata, jenayah paling kerap dilaporkan berlaku di sini membabitkan curi kenderaan terutamanya motosikal.

"Jenayah utama di Petaling Jaya adalah kecurian kenderaan, curi motosikal. Kita banyak buat tangkapan jadi memang ada pengurangan. 'Hotspot' curi motosikal ini di kawasan-kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) seperti di Lembah Subang, Desa Mentari dan Taman Medan.

"Kita sentiasa mengadakan kempen di kawasan tersebut dan bekerjasama dengan persatuan penduduk, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), dan Ahli Majlis setempat," ujarnya.

Sementara itu, Fakhrudin memberitahu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Petaling Jaya menduduki tempat pertama di Selangor dalam kategori penguatkuasaan, siasatan, pertuduhan dan penyelesaian saman trafik.

Katanya, daerah ini mencatatkan tangkapan paling tinggi membabitkan pemandu di bawah pengaruh alkohol menerusi Op Mabuk yang kerap dijalankan untuk membanteras masalah pemandu mabuk.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut komited berkempen untuk memberi kesedaran kepada masyarakat berhubung jenayah komersial terutama penipuan dalam talian sejajar dengan Kempen Anti Scam PDRM 2022.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!