Jordi pilih JDT bukan kerana wang
PEMAIN baharu Johor Darul Ta'zim (JDT), Jordi Amat menjelaskan bahawa keputusannya untuk menyertai Harimau Selatan bukan kerana duit semata-mata.
Sebaliknya bekas pertahanan Swansea City itu menjelaskan terdapat beberapa faktor dia memilih untuk bersama JDT termasuklah faktor jarak antara Indonesia dan Malaysia selain mahu bersaing di peringkat tertinggi bola sepak Asia.
“Jarak perjalanan dari Indonesia ke Johor hanya memakan masa dua jam sekiranya menggunakan jalan udara. Malah kelab itu juga merupakan salah satu daripada 16 pasukan terbaik di ACL.
“Malah ketika mendapat undangan dari @hrhcrownprinceofjohor (Tunku Ismail), saya dibawa mengunjungi semua fasiliti mereka.
“Saya memberi jaminan kepada semua bahawa fasiliti seperti itu belum pernah ditemui dalam pasukan sebelum ini," katanya dalam kenyataan dikongsi di laman Instagram miliknya.
Pada Rabu, JDT secara rasmi mengumumkan Jordi sebagai pemain baharu yang ditandatangani mereka selepas mengikat bekas pertahanan KL City, Daniel Ting.
Untuk rekod, selain Swansea City, Jordi juga pernah bermain bersama beberapa kelab Sepanyol termasuk Espanyol, Rayo Vallecano dan Real Betis.
Dalam kenyataan yang sama, Jordi turut menafikan tuduhan bahawa dia ingin mendapatkan pasport Indonesia hanya kerana mahu menjadi pemain import kuota Asia untuk JDT.
Sebaliknya beliau menjelaskan sudah membuat pertimbangan sewajarnya memandangkan JDT bukan satu-satunya kelab yang mahu mendapatkan khidmatnya.
“Saya juga mendapat beberapa tawaran dari beberapa liga besar dari negara lain," ujarnya.
Jordi menambah, neneknya kelahiran di Makassar, Indonesia dan dia turut memiliki keluarganya di sana.
"Saya sangat bangga untuk mewakili pasukan kebangsaan Indonesia. Matlamat saya untuk membantu pasukan kebangsaan dengan kerja keras dan pengalaman saya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!