Tiga maut kereta bertembung treler
HULU SELANGOR - Tiga maut selepas kereta dinaiki bertembung sebuah treler membawa muatan cerucuk konkrit dalam nahas di hadapan Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah, di sini awal pagi Khamis.
Mangsa yang maut dikenali sebagai B Janani Sri, 25; PS Thamilselvam, 25, dan PS Sasitaran,18.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 4.30 pagi selepas Perodua Myvi berkenaan yang menghala ke Antara Gapi telah masuk ke laluan bertentangan.
"Seorang pemandu dan dua penumpang dalam Perodua Myvi meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat.
"Manakala pemandu lori dibawa ke klinik di sekitar Rawang kerana mengalami kecederaan di bahagian dada," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 4.30 pagi.
"Sebaik tiba, pasukan penyelamat mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Perodua Myvi dan treler yang dipercayai telah bertembung.
"Kereta berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Rawang ke Serendah manakala treler datang dari arah bertentangan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!