Kes denggi di Ipoh naik 151 peratus
IPOH - Kes demam denggi di Bandaraya Ipoh meningkat sebanyak 151 peratus iaitu 221 kes bagi minggu epidemiologi 25 sehingga 25 Jun 2022 berbanding 88 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, peningkatan kes tersebut disebabkan hujan berterusan sejak awal Mei tahun ini.
Menurutnya, sebanyak tiga lokaliti pada tahun ini menjadi hotspot iaitu Pekan Razaki dan Desa Sri Ampang pada bulan Mac dan Kampung Tersusun Batu 8 pada bulan Jun 2022.
"Hasil kerjasama penduduk setempat dan semua agensi bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kinta dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melaksanakan aktivtiti kawalan, lokaliti tersebut berjaya dikeluarkan daripada kategori lokaliti hotspot pada 15 Jun iaitu kurang dari 50 hari.
"Adalah dimaklumkan sasaran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah 100 hari dari tarikh kes pertama," katanya ketika berucap ketika Mesyuarat Penuh MBI, di sini pada Khamis.
Rumaizi berkata, lot kosong dan rumah terbiar merupakan tempat berisiko pembiakan nyamuk aedes serta haiwan berbisa.
Katanya, sehingga 31 Mei 2022 sebanyak 1,176 notis penghapusan kacauganggu semak samun lot terbiar atau rumah terbiar telah dikeluarkan dan sebanyak 884 telah patuhi dengan kadar pematuhan sebanyak 75 peratus.
"Sebanyak 10 tawaran kompaun bernilai RM5,250 telah dikeluarkan kepada pemilik yang gagal patuhi notis. Semua pemilik dan pemaju lot-lot persendirian dan rumah yang terbiar bersemak-samun serta berhampiran dengan kawasan perumahan diminta supaya diselenggara secara berkala supaya tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes, haiwan serta reptilia berbisa.
"Aktiviti pencegahan dan kawalan untuk menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk perlu dilaksanakan secara berterusan dan dipertingkatkan supaya densiti nyamuk aedes berada pada tahap seminimum mungkin," katanya.
Sementara itu, Rumaizi menghargai usaha pelbagai pihak dalam melaksanakan program gotong-royong membasmi denggi bagi memastikan kes di sekitar MBI sentiasa terkawal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!