Eksesais tentera Malaysia, AS fokus bencana, bantuan kemanusiaan
KUCHING - Eksesais Kerjasama Pasifik 2019 antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Laut Amerika Syarikat yang berlangsung selama dua minggu telah bermula di sini, semalam.
Panglima Angkatan Bersama ATM, Lt Jen Datuk Suhaimi Mohd Zuki yang menyempurnakan majlis perasmiannya di Pelabuhan Pending, di sini hari ini berkata, 150 pegawai dan anggota ATM terlibat dalam eksesais kali ini, yang kedua diadakan di Kuching dan kali keempat di Malaysia.
Beliau berkata sepanjang tempoh dua minggu eksesais, anggota-anggota terlibat akan melawat beberapa tempat bagi meninjau kerjasama dua hala antara ATM dan Tentera Amerika Syarikat, di samping menjayakan latihan diplomasi pertahanan, yang akan memberi fokus kepada kerjasama menghadapi kemungkinan bencana alam dan bantuan kemanusiaan.
Katanya sebahagian besar pegawai dan anggota yang terlibat eksesais pada kali ini adalah dari bahagian perubatan memandangkan tumpuan latihan adalah perancangan dalam menghadapi bencana dan bantuan kemanusiaan.
“Latihan bersama seperti ini sangat berguna kerana jika berlaku suatu kejadian bencana kita sudah ada perancangan dan cara bagaimana untuk menghadapainya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis perasmian.
Kapal USNS Fall River yang membawa lebih 100 pegawai dan anggota tentera Amerika Syarikat itu tiba di Pelabuhan Pending di sini dua hari lepas.
Turut hadir pada majlis perasmian hari ini ialah Timbalan Ketua Misi Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia Thompson Dean dan Komander Misi Kerjasama Pasifik 2019 (PP19) Kapt Randy Van Rossum.
Thompson dan Randy ketika ditemui masing-masing mengucapkan terima kasih kepada ATM kerana memberi kerjasama yang sangat baik kepada pihaknya di sini.
Thompson berkata eksesais itu bertujuan untuk membuat persediaan berhadapan dengan bencana, mengukuhkan kerjasama tentera kedua-dua negara dan orang awam, saling bertukar ilmu pengetahuan dan kepakaran serta memperkukuhkan keselamatan dan kestabilan rantau di samping mengukuhkan persahabatan merentas rantau Indo-Pasifik.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!