PRU15: PH perlu kukuh kedudukan ketika UMNO berpecah belah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) perlu mengukuh kedudukan dan menambah sokongan rakyat sebagai persediaan ampuh untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam keadaan UMNO yang kini ibarat retak menanti belah.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, sekarang ruang terbuka kepada parti-parti politik pembangkang khususnya PH untuk mengatur langkah dan strategi untuk PRU15.

"Pertama, PH boleh jadi penonton sahaja, bersorak-sorai ketawa terbahak-bahak melihat 'circus' dalam UMNO. Kedua, mengambil inisiatif menggembleng kekuatan positif yang masih ada dalam kalangan parti-parti pembangkang dengan menyaring dan menyisih elemen-elemen negatif dalam kalangan mereka.

"Ini demi membina kerjasama pilihan raya (electoral understanding). Ketiga, PH kembali kepada rakyat untuk mendapatkan sokongan mereka. Kemukakan buah fikiran, idea, cadangan dan agenda perubahan yang tulen, bukan retorik.

"Percayalah kepada rakyat. Mereka mahukan perubahan dan harapan yang menjamin nasib masa depan mereka, anak-cucu mereka. Mungkin sekarang ini terbuka peluang kedua bagi PH untuk mendapatkan semula mandat menyelamatkan rakyat dan Malaysia tercinta," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Katanya, selepas pendedahan Ahli Parlimen Pasir, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengenai Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beberapa hari lalu, UMNO kini berpecah dan bukan lagi satu kekuatan politik yang padu dan ampuh.

Ahmad Zahid dakwanya, sudah hilang apa juga integriti yang ada sebagai seorang pemimpin politik akibat daripada pendedahan tersebut, begitu juga dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Najib pula 'de facto' pemimpin UMNO yang ingin membuat 'coming back' menjadi bos di Putrajaya sekali lagi sudah menjadi liabiliti kepada UMNO. Najib mungkin berjaya melengah-lengahkan perbicaraan kesnya di mahkamah dengan pelbagai permohonan interlokutori tetapi Najib sudah gagal untuk mendapatkan kercayaan rakyat lagi.

"Tiada rakyat di sesebuah negara yang berdaulat dan bermaruah mahukan pemimpin yang boleh disifatkan 'seperti tikus untuk memperbaiki labu'.

"Jadi kini UMNO hanya tinggal Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Hanya Ismail Sabri yang boleh diharap untuk menjadi'poster boy' bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam PRU15 akan datang," katanya.

Walaupun begitu Hassan percaya, masih terdapat pemimpin UMNO yang baik seperti Ismail Sabri terutama imej Ahli Parlimen Bera itu yang masih kelihatan bersih jika dibandingkan dengan watak-watak dalam kluster mahkamah.

Katanya, mungkin sebab itu PH sudi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan Persekutuan apabila Ismail Sabri menjadi wakilnya.

"Satu lagi yang orang ramai nampaknya merestui bahawa Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, tidak mahu campur tangan dalam urusan mahkamah terhadap tokoh-tokoh berprofail tinggi dalam kluster mahkamah dari UMNO itu," katanya.

Ujarnya, kerajaan pimpinan Ismail Sabri hari ini adalah kerajaan campuran dan UMNO bukan dominan dalam kerajaan di Putrajaya sekarang apatah lagi musuh ketat UMNO iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ada ramai menteri dalam kabinet.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!