'Sukar bayar gaji minimum guru OKU sebab kurang dana'

Sekolah Persatuan Kanak-kanak Khas menempatkan kira-kira 40 pelajar OKU pelbagai kategori.
Sekolah Persatuan Kanak-kanak Khas menempatkan kira-kira 40 pelajar OKU pelbagai kategori.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kekangan kewangan dihadapi Persatuan Kanak-kanak Khas Sungai Petani di sini menjejaskan pelaksanaan gaji minimum dan pembelajaran kira-kira 40 murid orang kurang upaya (OKU).

Pengerusinya, Dr Leela Anthony Joe berkata, setakat ini, persatuan yang menguruskan pembelajaran untuk anak-anak OKU itu berusaha membayar gaji lapan pekerja termasuk enam guru, seorang tukang masak dan seorang pengawal keselamatan bagi bulan Jun sejak pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,5000 ditetapkan kerajaan Mei lalu.

Bagaimanapun, kekurangan dana yang dihadapi menyukarkan persatuan berbuat demikian untuk beberapa bulan akan datang.

Premis Persatuan Kanak-kanak Khas di Taman Nuri Sungai Petani Kedah.
Premis Persatuan Kanak-kanak Khas di Taman Nuri Sungai Petani Kedah.

"Kami beroperasi dengan bantuan kerajaan dan sumbangan orang ramai, namun dana yang diterima tidak mencukupi menyebabkan kami terpaksa merayu sumbangan tambahan bagi menampung perbelanjaan.

"Biarpun dalam keadaan serba kekurangan, perkhidmatan dan jasa setiap pekerja di sini yang berpengalaman antara 20 hingga 30 tahun, amat memuaskan kerana apa yang menjadi keutamaan ialah keperluan OKU termasuk golongan B40 dengan curahan perhatian dan sepenuh kasih sayang.

"Mereka dah anggap macam anak sendiri, sebab itu sanggup menabur bakti semata-mata mahukan anak OKU berdikari serta mempunyai masa depan yang cerah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan Pengarah Eksekutif Thong Guan, Datuk P K Ang di premis Persatuan Kanak-kanak Khas Sungai Petani di Taman Nuri di sini pada Rabu.

Sekolah yang mula beroperasi sejak 38 tahun lalu itu diuruskan sepenuhnya oleh persatuan dengan matlamat menyediakan pusat pemulihan bagi OKU terdiri pelbagai bangsa berusia 7 hingga 28 tahun secara percuma.

"Kita masih memerlukan sumbangan orang ramai, syarikat swasta, badan korporat dan orang perseorangan untuk membantu kos bulanan yang masih berkurangan mencecah RM8,000 sebulan," katanya.

Menurutnya, premis yang dirasmikan Almarhum Sultanah Bahiyah Tuanku Abdul Rahman pada 1984 itu menyediakan perkhidmatan pelbagai kategori termasuk OKU fizikal, sindrom Down, masalah pembelajaran, hyper active dan autisme tanpa sebarang yuran dikenakan.

P K Ang meninjau pembelajaran pelajar OKU di sekolah Persatuan Kanak-kanak Khas di Taman Nuri Sungai Petani Kedah.
P K Ang meninjau pembelajaran pelajar OKU di sekolah Persatuan Kanak-kanak Khas di Taman Nuri Sungai Petani Kedah.

Persekolahan bermula jam 8 pagi hingga 12.30 tengah hari di mana pelajar diberi elaun sebanyak RM150 sebulan mengikut kelayakan.

Beberapa aktiviti dan kemahiran turut ditekankan seperti pengurusan diri, pengurusan kelas, dapur dan tandas, bercucuk tanam serta disediakan akses rawatan pakar mengikut keperluan.

Sementara itu, P K Ang berkata, dana mencecah RM100,000 disumbangkan kepada persatuan bagi tujuan menggantikan pagar yang rosak, perabot lama yang usang serta penambahan gaji bagi memenuhi pelaksanaan gaji minimum untuk pekerja bagi tiga bulan akan datang.

Menurutnya, melihatkan keadaan anak-anak OKU yang pelbagai ragam berada dalam keadaan serba kekurangan, namun teruja kerana semuanya dapat diasuh sebaik mungkin sepanjang berada di sini.

"Saya difahamkan ada pelajar sudah tamat belajar diterima bekerja, mempunyai keluarga dan anak.

"Ini mungkin salah satu aktiviti yang baik untuk OKU bersosial, belajar bersama rakan dan mengisi ruang dengan pelbagai aktiviti menarik berbanding berada di rumah," katanya.

Antara pelajar berusia antara 7 hingga 28 tahun yang menjalani proses pemulihan dan pembelajaran diuruskan Persatuan Kanak-kanak Khas Sungai Petani.
Antara pelajar berusia antara 7 hingga 28 tahun yang menjalani proses pemulihan dan pembelajaran diuruskan Persatuan Kanak-kanak Khas Sungai Petani.

Jelasnya, beberapa masalah lain turut dikemukakan persatuan antaranya kehadiran anai-anai yang masih belum dapat dibasmi kerana memerlukan kos yang tinggi.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban persatuan boleh berbuat demikian melalui akaun HSBC bernombor 331 149 567 001 atau datang sendiri ke premis Persatuan Kanak-kanak Khas di Taman Nuri, Sungai Petani, Kedah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!