Singapura, Indonesia, Thailand sambut Aidiladha pada 10 Julai

Umat Islam di Singapura, Indonesia dan Thailand akan menyambut Hari Raya Haji pada 10 Julai ini. - Gambar hiasan 123RF
Umat Islam di Singapura, Indonesia dan Thailand akan menyambut Hari Raya Haji pada 10 Julai ini. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

SINGAPURA/ JAKARTA/ BANGKOK - Umat Islam di Singapura, Indonesia dan Thailand akan menyambut Hari Raya Haji pada 10 Julai 2022.

Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir berkata, menurut kiraan rukyah, anak bulan tidak mungkin dapat dilihat di atas ufuk Singapura setelah terbenamnya matahari pada Rabu.

"Ini bererti 30 Jun genap 30 hari bagi bulan Zulkaedah," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman sesawang Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Oleh itu, Dr Nazirudin berkata, "hari pertama bulan Zulhijjah 1443H di Singapura, jatuh pada Jumaat, 1 Julai 2022 dan Hari Raya Haji, jatuh pada Ahad, 10 Julai 2022."

Video pengumuman permulaan Zulhijjah 1443H/2022 untuk Singapura itu turut dimuatkan di laman Facebook MUIS.

"Semoga segala amal ibadah kita pada bulan Zulhijjah ini diterima dan semoga mendapat Aidiladha yang diberkati, dengan menghayati maksud dan erti pengorbanan yang sebenar,” kata Dr Nazirudin.

Sementara itu di Indonesia, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama Zainut Tauhid berkata, 1 Zulhijjah 1443H bersamaan 1 Julai, dan Hari Raya Haji akan disambut pada 10 Julai.

Umat Islam mewakili hampir 90 peratus daripada 270 juta populasi negara itu.

Di BANGKOK, Sheikhul Islam Thailand, Aziz Phitakkumpon turut mengumumkan Hari Raya Haji jatuh pada 10 Julai.

"Semua umat Islam di Thailand diminta laksanakan kewajipan agama pada tarikh itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, umat Islam Thailand sepatutnya dapat melihat anak bulan selepas matahari terbenam pada Rabu, bagaimanapun anak bulan itu tidak kelihatan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!