Kelantan rekod tujuh kluster Influenza

JKNK merekodkan tujuh kluster melibatkan jangkitan Influenza sehingga Minggu Epidemiologi (ME) 25 bagi tahun 2022. - Foto hiasan (Gambar kecil: Dr Zaini)
JKNK merekodkan tujuh kluster melibatkan jangkitan Influenza sehingga Minggu Epidemiologi (ME) 25 bagi tahun 2022. - Foto hiasan (Gambar kecil: Dr Zaini)
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) merekodkan tujuh kluster melibatkan jangkitan Influenza sehingga Minggu Epidemiologi (ME) 25 bagi tahun 2022.

Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Husin berkata, selain itu sebanyak lima kluster melibatkan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI).

"Sebahagian besar kes-kes dalam kluster ini adalah bergejala ringan dan dirawat sebagai pesakit luar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, bagi membendung peningkatan kes dan kluster jangkitan saluran pernafasan ini JKNK menasihati masyarakat kekal patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi fasa peralihan endemik.

Katanya, amalan 3W (Wash, Wear and Warn) masih perlu diteruskan terutama apabila berada di kawasan tertutup dan sesak.

Dr Zaini berkata, golongan ibu bapa diingatkan supaya sentiasa memastikan anak-anak yang mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan mendapat rawatan segera dan tidak dibenarkan hadir ke sekolah.

"Pihak sekolah juga perlu memastikan pelajar bergejala tidak dibenarkan hadir ke sekolah dan tahap pematuhan SOP di sekolah perlu dioptimakan.

"JKNK akan terus memantau situasi kejadian penyakit ini dari semasa ke semasa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!