Sinar baharu warden asrama
Isu membabitkan warden asrama di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerap dibahaskan pelbagai pihak susulan wujud perkara berbangkit membabitkan guru yang menggalas tanggungjawab itu.
Antara perkara yang dibangkitkan termasuklah elaun penugasan dan bebanan tugas memandangkan warden asrama memikul tanggungjawab besar bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar terjaga.
Bagaimanapun, pengumuman yang dibuat Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin baru-baru ini bahawa penambahbaikan portfolio asrama di bawah kementeriannya bakal dilaksanakan seakan memberi ‘sinar’ kepada semua warden terlibat.
Diumumkan, kadar elaun warden di sekolah berasrama di bawah KPM akan dinaikkan sebanyak 25 peratus iaitu RM350 sebulan bagi ketua warden manakala RM300 bagi warden, bermula 1 Ogos depan.
Turut diumumkan penambahan seramai 3,813 lagi warden asrama menjadikan keseluruhan 9,868 orang, iaitu meningkat 63 peratus berbanding 6,055 sebelum ini.
Ini sekali gus membolehkan penggiliran jadual bertugas warden akan dapat dilaksanakan di semua sekolah berasrama di bawah KPM.
Selain itu, KPM pada masa sama akan terus berusaha menambah baik portfolio warden asrama bagi memastikan semua pihak memperoleh manfaat secara bersama.
Perkara itu disambut baik oleh semua warden asrama di seluruh negara.
Langkah tepat
Guru warden asrama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Aziz Shah, Selangor, Noraziah Yahaya menyifatkan, keputusan KPM untuk menambahkan bilangan warden adalah tepat pada masa bagi mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung mereka ketika ini.
“Tugas warden ada ketikanya menuntut kami bertugas melebihi waktu bekerja terutamanya jika berlaku kes-kes kecemasan di asrama seperti murid sakit, kemalangan dan sebagainya.
“Dengan bilangan warden yang ramai di asrama, lebih mudah untuk kami bekerjasama sekiranya berlaku situasi luar jangka,” katanya.
Ujarnya, warden asrama ibarat ibu bapa yang perlu memastikan keselamatan pelajar sentiasa dipantau supaya masing-masing berada dalam keadaan baik.
Selain itu katanya, warden asrama turut perlu memantau aktiviti harian dan program di asrama termasuklah membabitkan disiplin pelajar.
Tambahnya, usaha KPM untuk menambahbaik portfolio warden asrama juga dilihat wajar kerana sebelum ini perhatian kurang diberikan kepada sekolah asrama harian biasa.
“Boleh dikatakan kebanyakan tumpuan diberikan kepada warden sekolah berasrama penuh sahaja. Sudah tentu kami sambut baik tindakan KPM yang akan memberi tumpuan terhadap asrama sekolah harian biasa,” katanya.
Suntik semangat
Guru warden asrama SMK Dato’ Undang Musa Al-Haj, Negeri Sembilan, Azam Abd Aziz akui lega dengan pengumuman kadar baharu elaun seperti yang diumumkan KPM.
Menurutnya, kenaikan sebanyak 25 peratus yang diberikan oleh KPM berkuat kuasa 1 Ogos ini pastinya menggembirakan mereka.
“Walau pun elaun ini bukanlah kayu ukur tugas seseorang warden, namun ia dapat menyuntik semangat para guru untuk menjadi warden dan seterusnya memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada anak-anak yang berada di asrama,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya KPM meneliti pemotongan elaun perumahan terhadap warden asrama ketika ini dengan mengambil kira tanggungjawab yang dipikul mereka.
“Selama ini warden menerima elaun bulanan RM240 sebulan, namun dipotong sebanyak RM150 untuk elaun perumahan dan hanya tinggal RM90 sahaja.
“Jadi, sepatutnya elaun perumahan ini tidak dipotong memandangkan warden bertugas 24 jam dan tujuh hari seminggu,”katanya yang turut gembira dengan pengumuman KPM untuk menambahbaik portfolio warden asrama.
Katanya, ini menggambarkan usaha KPM yang begitu komited untuk menyelesaikan masalah dan isu yang melibatkan asrama di bawah seliaannya.
“Semoga inisiatif ini dapat diteruskan dan asrama diperkasakan demi masa depan anak-anak kita yang akan mewarisi kepimpinan generasi akan datang,” katanya.
Sementara itu, menjawab persoalan sama ada warden asrama mesti dilantik dalam kalangan guru sahaja, warden asrama SMK Chukai, Terengganu, Mohd Al-Lamare Abu Husain berkata, tidak semua warden terdiri daripada anggota akademik semata-mata.
“Walaupun kebanyakan warden yang dilantik adalah dalam kalangan guru, namun ada juga warden yang terdiri daripada anggota bukan akademi seperti pembantu tadbir sekolah dan penyelia asrama,” katanya.
Mohd Al-Lamare dalam masa sama turut menjelaskan, bilangan warden pula adalah berdasarkan bilangan murid yang tinggal di asrama iaitu nisbah seorang warden bagi setiap 50 murid (1:50), manakala bagi asrama murid berkeperluan pendidikan khas pula seorang warden bagi setiap 20 orang murid (1:20).
“Bagi asrama yang mempunyai lima atau lebih bilangan warden, seorang ketua warden boleh dilantik,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!