Polis rekod keterangan Lufya esok
PETALING JAYA - Polis akan merekod keterangan pelakon, Lufya Omar pada Jumaat untuk siasatan berhubung dakwaan dirinya dicederakan dengan kayu oleh seorang lelaki dalam cubaan menculik anaknya di sebuah taman permainan di Kota Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, keterangan pelakon itu akan diambil pada jam 11 pagi.
"Saya sahkan dia (Lufya) akan hadir pada jam 11 pagi esok (Jumaat).
"Keterangannya akan diambil oleh pegawai penyiasat dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Tambah beliau, pihaknya akan mendapatkan keterangan lengkap daripada Lufya sebelum tindakan lanjut dijalankan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan pelakon itu telah membuat laporan di Balai Polis Kota Damansara pada jam 6.59 pagi, Rabu.
Pada Selasa, media melaporkan Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar, 37, mendakwa berdepan detik cemas apabila dipukul di bahagian kepala dan badan dengan kayu dalam cubaan seorang lelaki menculik anaknya, Laana Haura, 5, di taman permainan terbabit.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Lufya mendakwa, seorang lelaki berbadan besar memukulnya sehingga dia mengalami kecederaan teruk ketika cuba menyelamatkan anaknya itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!