Operasi besar-besaran banteras PATI

Hamzah ketika sidang media di Bukit Aman pada Khamis.
Hamzah ketika sidang media di Bukit Aman pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menjalankan operasi besar-besaran bagi membanteras masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) dan memberi amaran keras kepada majikan yang mengambil golongan itu bekerja.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihak kementerian menerusi Jabatan Imigresen Malaysia telah melaksanakan Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja sebagai satu inisiatif kepada individu berkenaan untuk pulang ke negara asal atau berdaftar secara sah.

Menurutnya, tindakan tegas akan diambil terhadap PATI yang masih berada di dalam negara ini menjelang jam 12 tengah malam, Jumaat.

"Dalam program Rekalibrasi Tenaga Kerja ada yang sudah dibenarkan untuk bekerja, manakala hari ini 30 Jun merupakan hari terakhir untuk semua yang telah berdaftar Program Rekalibrasi Pulang untuk pulang ke negara masing-masing.

"Saya nak maklumkan kepada majikan, sesiapa yang mengambil pekerja tanpa dokumen, kita akan melakukan operasi besar- besaran," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman, di sini pada Khamis.

Hamzah berkata, KDN akan memastikan hanya mereka yang layak dan mempunyai dokumen, pasport sah dari negara asal masing-masing dibenarkan untuk bekerja.

Mengulas berkenaan kesesakan di lapangan terbang membabitkan warga asing yang berpusu-pusu untuk pulang, Hamzah berkata, individu berkenaan sepatutnya tidak menunggu sehingga saat akhir sebelum pulang ke negara asal.

"Kita ada sampai jam 12 tengah malam ini dan mereka pun dah tahu ini adalah hari terakhir. Kalau mereka masih lagi berada di sini selepas jam 12 tengah malam mereka ini melakukan kesalahan dan kita akan ambil tindakan," tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!