Padah kemuka maklumat palsu kad pengenalan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TAWAU - Seorang peniaga serta anaknya masing-masing dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan 10 bulan, serta denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis selepas mengaku salah atas pertuduhan mengemukakan maklumat palsu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada 2017.

Elipin Usman, 52, warga tempatan dan Noor Rizwan Elipin, 26, warganegara Indonesia, didakwa melakukan kesalahan itu di JPN Cawangan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Tawau pada 4.49 petang, 8 September 2017.

Elipin dituduh memberi maklumat palsu semasa menjadi penganjur bagi mendaftarkan kad pengenalan Noor Rizwan, manakala pertuduhan terhadap Noor Rizwan pula kerana memberikan maklumat palsu semasa menjadi pemohon untuk mendaftarkan kad pengenalan sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 25(1)(b) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan boleh dihukum di bawah Peraturan Peraturan sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau Amir Shah Amir Hassan yang bersidang sebagai majistret ketika menjatuhkan hukuman berkata, mahkamah memandang serius kes memberi maklumat palsu dan isu dokumentasi sangat sensitif serta menjejaskan hak orang yang sepatutnya.

Beliau berharap JPN berusaha mencari individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab berkaitan masalah pemalsuan keterangan diri, untuk diambil tindakan sewajarnya kerana urusan pemilikan dokumen membabitkan isu kedaulatan negara.

"Justeru, kes seperti ini harus dijadikan pengajaran dan teladan supaya masyarakat di luar sana tidak sewenang-wenangnya memberikan maklumat palsu dalam sebarang urusan pemilikan dokumen," katanya.

Mahkamah turut memerintahkan Noor Rizwan dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk pengusiran setelah selesai menjalani hukuman yang bermula dari tarikh sabitan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Nurul Fariza Abdullah sementara kedua-dua tertuduh diwakili peguam Jhesseny P Kang. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!