IPT diminta anjur debat ilmu, diskusi kandungan buku: Maszlee

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berucap pada majlis perasmian Pesta Buku Antrabangsa Kuala Lumpur (KLIBF) 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini. - Foto Bernama
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berucap pada majlis perasmian Pesta Buku Antrabangsa Kuala Lumpur (KLIBF) 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

NILAI - [DIKEMASKINI] Institusi Pengajian Tinggi (IPT) diminta menganjurkan program diskusi atau kupasan kandungan buku, bagi menjadikan universiti sebuah medan intelektual terbuka mendebatkan ilmu-ilmu kandungan buku.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata program itu seharusnya diadakan secara dwi-mingguan atau bulanan kerana pada ketika ini, dilihat masih di tahap ‘pinggiran’ dan bukannya menjadi keutamaan.

“Saya lontarkan cabaran bagi semua universiti adakan kupasan buku, perdebatan atau kritikan kandungan buku di universiti masing-masing.

“Kita ingin jadikan universiti sebuah medan intelektual terbuka dengan ilmu diperdebatkan, pendapat diperbincangkan, fikrah dan idea berlaku ‘peperangan’ dalam kita pastikan hanya idea terbaik akan mengungguli.

“Malangnya sehingga kini, kita lihat bukan tiada, tetapi masih pada bentuk pinggiran dan bukan keutamaan, ini berbeza kalau kita pergi universiti terbuka sebagai contoh universiti di Indonesia di mana diskusi, perdebatan buku atau karya agung merupakan sesuatu yang biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Anugerah Tokoh Siswa 2018 di sini, malam ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching dan Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Datuk Dr Musa Ahmad.

Pada majlis itu, Muhammad Syafik Rahmat, 24, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Rangkaian dan Keselamatan) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima Anugerah Menteri Pendidikan yang membawa gelaran Tokoh Siswa Kebangsaan 2018.

Anugerah itu merupakan anugerah utama dan tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia kepada mahasiswa universiti awam, swasta, Politeknik dan Kolej Komuniti yang aktif dalam pelbagai bidang diceburi sepanjang berada di kampus.

Artikel Berkaitan:

Beliau membawa pulang wang tunai bernilai RM3,000, trofi dan sijil dan pakej pengembaraan ke luar negara bernilai RM5,000.

Turut diiktiraf, mahasiswa yang berkecimpung dalam bidang masing-masing menerusi 15 kategori yang dipertandingkan dan menerima hadiah wang tunai bernilai RM1,000, trofi, biasiswa Tokoh Siswa dan sijil.

Kategori Penghargaan Khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi yang menerima trofi dan sijil, turut diberikan kepada pelumba Cup Prix Allahyarham Mohd Hafiz Nor Azman, 23, yang diwakili kedua ibu bapanya Nor Azman Darus, 55, dan Rohana Hamzah, 52.

Allahyarham Mohd Hafiz merupakan pelajar jurusan Diploma Kejuruteraan Automotif Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak, meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan ketika pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Bandar Penawar, Johor, Disember tahun lepas.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!