Kempen penyebaran maklumat salah dalam media sosial
KUALA LUMPUR - Kempen penyebaran maklumat salah dalam media sosial di Malaysia mungkin didalangi pemilik akaun palsu, menurut Lynas Rare Earth.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, syarikat perlombongan nadir bumi berpangkalan di Australia itu memberitahu, syarikat tersebut menjadi subjek kempen berkenaan selama beberapa tahun oleh akaun yang dikaitkan dengan kempen Dragonbridge.
Lynas memaklumkan, perkara itu didedahkan dalam taklimat oleh Mandiant, sebuah firma keselamatan siber Amerika.
Laporan itu turut mendedahkan bukti penglibatan secara langsung dan bersama antara akaun media sosial pro-China Dragonbridge dan aktivis anti-Lynas di Malaysia tidak didorong oleh kebimbangan sebenar masyarakat atau alam sekitar.
"Ini menunjukkan potensi akaun media sosial dimanipulasi untuk mempromosikan maklumat salah atau melaungkan suara aktivis dengan agenda yang mementingkan diri sendiri,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa kempen digital dikenali sebagai Dragonbridge telah membanjiri Twitter dan Facebook dalam beberapa bulan kebelakangan ini dengan catatan yang menimbulkan kebimbangan alam sekitar dan kesihatan terhadap operasi beberapa firma perlombongan utama. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!