Tiada kecederaan fizikal dikesan libat dua kes kematian OKT

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada kecederaan fizikal dikesan membabitkan dua kes kematian orang kena tahan (OKT) yang ditangkap untuk siasatan kes dadah.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, bagi kes pertama, seorang OKT berusia 50 tahun telah ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 pada 17 Jun lalu.

Menurutnya, OKT yang ditahan di lokap Balai Polis Jasin Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, Melaka didapati tidak sedarkan diri pada jam 12 tengah hari, 23 Jun sebelum dihantar ke Hospital Jasin untuk rawatan awal dan dirujuk ke Hospital Melaka.

"Pada 25 Jun, OKT yang ditempatkan di wad didapati pengsan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital pada jam 1.24 pagi.

"Bedah siasat dapati tiada kecederaan fizikal dikesan dan punca kematian disebabkan pendarahan dalam usus kecil," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, satu lagi kes melibatkan seorang lelaki berusia 42 tahun yang ditahan di bawah Seksyen 39B ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama pada 22 Jun lalu.

Katanya, OKT warga tempatan itu ditahan di lokap Balai Polis Nibong Tebal, IPD Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

"Pada jam 12 tengah hari, 26 Jun, OKT telah mengadu sakit perut sebelum dibawa ke Hospital Sungai Bakap, Pulau Pinang untuk rawatan awal.

"OKT kemudian dihantar ke Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang dan dimasukkan ke wad sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 1.54 pagi, 27 Jun," ujarnya.

Tambahnya, hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang kecederaan luaran fizikal dikesan dan punca kematian adalah pendarahan teruk pada salur pencernaan (bahagian atas) serta kegagalan beberapa fungsi organ utama selain ketidakstabilan metabolisme badan akibat jangkitan kuman.

Jelasnya, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!