KDA FC layak ke separuh akhir, belasah Visakha FC 5-1
KEDAH Darul Aman (KDA) FC membelasah pasukan Kemboja, Visakha FC 5-1 untuk merampas pendahulu Kumpulan G Piala Asia 2022 di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali pada Khamis.
Kebangkitan yang dilakukan oleh skuad kendalian Aidil Sharin Sahak ini memastikan mereka mara ke peringkat separuh akhir Zon ASEAN selaku juara Kumpulan G.
Pada aksi tersebut, Sang Kenari terlebih dahulu dikejutkan oleh gol lawan menerusi tandukan Faeez Khan pada minit ke-20 hasil sepakan percuma Teath Kimheng untuk kedudukan 1-0.
Bagaimanapun, perancang KDA FC, Mahmoud Al Mardi berjaya membangkitkan semula semangat rakan-rakannya apabila menjaringkan gol penyamaan 1-1 pada minit ke-28.
Tidak berhenti di situ, Sang Kenari mula memimpin perlawanan apabila berjaya berada di hadapan 2-1 hasil sepakan percuma Mahmoud pada penghujung separuh masa pertama.
Mahmoud kemudiannya melengkapkan hatriknya pada minit ke-54 untuk membantu pasukannya menjarakkan kedudukan kepada 3-1 selepas menjaringkan gol hasil hantaran Fayadh Zulkifli.
Fayadh yang muncul hero semasa aksi bertemu Kaya FC juga memberikan masalah kepada Visakha FC apabila menambah gol keempat KDA FC pada minit ke-67 untuk kedudukan 4-1.
Ronald Ngah Wanja pula melengkapkan kemenangan manis Sang Kenari kepada 5-1 apabila menjaringkan gol pada minit ke-76 hasil larian solo yang dilakukan daripada tengah padang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!