[VIDEO] Kerja 4 hari seminggu: Penubuhan pasukan khas JPA wajar
PETALING JAYA – Penubuhan pasukan khas oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) wajar bagi mengkaji keberkesanan pelaksanaan waktu bekerja empat hari seminggu.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (Sumber Manusia) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Muhammad Aiman Arifin berkata, kajian di peringkat awal yang dijalankan oleh JPA ini akan membantu pelaksanaan dasar baharu ini.
Menurutnya, pasukan khas yang dibentuk ini bukan sahaja melibatkan pakar sumber manusia tetapi juga pakar dari industri sendiri.
“Pihak kerajaan, pakar sumber manusia dan industri harus berganding bahu memikirkan kaedah terbaik sebelum melaksanakan sesuatu dasar, ini termasuk keberkesanan dan produktiviti pekerja serta syarikat dalam pelaksanaan waktu bekerja empat hari seminggu,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Mengulas lanjut kesesuaian pelaksanaan itu nanti, Muhammad Aiman berkata, dalam sektor pekerjaan di Malaysia terdapat pelbagai jenis industri.
“Sememangnya saya setuju pelaksanaan ini, tidak semua industri akan boleh ikut 100 peratus, ada yang tidak sesuai sebagai contoh sektor pembuatan, perkilangan serta mereka yang terlibat dengan pengeluaran barangan yang mempunyai sasaran setiap hari,” jelasnya.
Tambahnya lagi, begitu juga dengan bidang lain yang memerlukan pekerja mematuhi dateline dan sebagainya itu juga masih berpihak kepada keputusan syarikat masing-masing sama ada mahu ikut ataupun tidak.
“Kita bercakap dalam soal industri yang besar, ia mempunyai pelbagai profesion contoh dalam bidang perbankan banyak alirannya bukan setakat akauntan, begitu juga dalam industri kreatif ada boleh bekerja dari rumah ada yang tidak mungkin kerana faktor keperluan peralatan di pejabat,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!