Aidil puji sikap tidak putus asa Sang Kenari
PENGENDALI Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak menyifatkan semangat kerjasama yang tinggi dan tidak berputus asa menjadi kunci kebangkitan pasukannya untuk mara ke separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC 2022.
Menurutnya, pujian diberikan kepada semua pemain selepas menang bergaya ke atas wakil Kemboja, Visakha FC 5-1 di Bali pada Khamis sekali gus muncul juara Kumpulan G.
"Saya tidak mahu memberi komen atas individu kerana ini adalah kejayaan berpasukan. Semua pemain menunjukkan semangat kerjasama tinggi terutama pada malam ini.
"Tidak mudah untuk menewaskan Visakha FC kerana mereka konsisten menang dua perlawanan sebelum ini. Pada separuh masa pertama Ronald Ngah Wanja gagal menyempurnakan penalti sebelum kita bolos satu gol.
"Namun pemain kami berjaya bangkit untuk menang perlawanan ini dan memang kredit perlu diberikan kepada semua pemain," katanya DALAM sidang akhbar selepas perlawanan di Stadium Kapten I Wayan Dipta.
Pada aksi pertama kumpulan, Sang Kenari tewas 2-0 sehingga mendatangkan kebimbangan kepada penyokong mereka namun pasukan itu bangkit menang besar ke atas Kaya FC 4-1 bagi menghidupkan kembali peluang mara ke peringkat seterusnya.
Kemenangan besar KDA FC ke atas Visakha FC pada aksi kumpulan kemudiannya memastikan mereka meraih slot separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC 2022 untuk bertemu pasukan dari Indonesia, PSM Makassar pada 9 Ogos ini.
Mengulas lawan yang bakal dihadapi, Aidil Sharin tidak mahu memikirkannya lagi kerana mahu pemainnya meraikan dahulu kejayaan tersebut sebelum pulang ke negara bagi menghadapi saingan Liga Super 2022 pula.
"Malam ini kami mahu pemain rai kejayaan ini dahulu dan sebelum kembali ke Liga Malaysia untuk sesi pemulihan.
"Saya mahu pemain menikmati detik ini selepas memberikan segala-galanya pada perlawanan tersebut selepas kami berdepan pelbagai halangan, bukan satu perkara mudah," ujarnya.
Sementara itu, penjaring hatrik Sang Kenari pada perlawanan menentang Visakha FC, Mahmoud Al Mardi mengakui gembira dengan prestasinya walaupun baru beraksi tiga perlawanan bersama KDA FC.
Menurutnya, kepercayaan diberikan oleh Aidil Sharin meningkatkan motivasinya untuk memberikan aksi terbaik dan kerjasama diberikan semua pemain membantunya menjaringkan gol selain dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!