Lelaki mabuk langgar mati warga emas ditahan
PORT DICKSON - Seorang lelaki ditahan dipercayai memandu dalam keadaan mabuk sehingga mengakibatkan kematian seorang warga emas di Kilometer 5, Jalan Seremban- Port Dickson, di sini, Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, lelaki berumur 21 tahun itu ditahan di lokasi kejadian pada hari sama.
"Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10.50 malam di mana lelaki terbabit memandu kereta jenis Proton Iswara dalam perjalanan dari arah Lukut menghala ke Port Dickson.
"Apabila sampai di tempat kejadian, suspek gagal mengawal kenderaan lalu melanggar belakang seorang lelaki berusia 68 tahun yang sedang menunggang motosikal jenis SYM di hadapan kereta tersebut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, mangsa cedera parah di badan dan kepala serta disahkan meninggal dunia di Hospital Port Dickson kira-kira jam 9 pagi, Khamis.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.
Dalam pada itu, Aidi Sham menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan video atau memuat naik sebarang spekulasi di laman sosial tentang kejadian tersebut kerana kes berkenaan masih dalam siasatan.
Pada Khamis, tular satu video berdurasi 45 saat dimuat naik seorang pemilik akaun Twitter ' Nan Manjoi8715' yang memaparkan kekecohan berlaku dipercayai akibat kejadian langgar lari sehingga menyebabkan kematian seorang individu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!