Setia City Mall rai ulang tahun ke-10
PUSAT beli-belah terbesar di Shah Alam, Setia City Mall meraikan ulang tahun yang ke-10 bulan ini dengan menawarkan pelbagai aktiviti dan hadiah menarik untuk dimenangi.
Sejak dibuka pada 2012, pusat beli-belah itu bukan sahaja menarik minat penduduk Setia Alam, malah terbukti menjadi pusat beli-belah pilihan penduduk sekitar Lembah Klang.
Seiring dengan perbandaran yang berkembang maju di sekitar Setia Alam, Setia City Mall yang baru diperbesarkan itu telah mencapai kira-kira 20 juta kunjungan setiap tahun.
Naib Presiden Eksekutif S P Setia Berhad, Datuk Tan Hon Lim berkata, pusat beli-belah itu telah berkembang seiring dengan gaya hidup komuniti, malah beliau percaya lebih banyak lagi pencapaian dapat dicapai Setia City Mall untuk tahun-tahun akan datang.
Namun, pada masa sama, beliau mengakui tingkah laku pengguna telah berubah akibat pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.
“Ia telah menyebabkan pengusaha pusat beli-belah dan peruncit terpaksa menyusun semula strategi model perniagaan mereka dengan menggabungkan perkhidmatan dalam talian bagi memacu perniagaan masing-masing.
“Justeru, bergerak ke hadapan, pusat beli-belah ini perlu menyediakan pelbagai platform lebih berkesan, misalnya kedai-kedai sedia ada boleh menggunakan platform dalam talian, selain penerimaan kepintaran buatan, robotik sebagai sebahagian daripada kelestarian perniagaan mereka,” katanya sempena Majlis Pelancaran Ulang Tahun ke-10 Setia City Mall di sini pada Khamis.
Sementara itu, Pengarah Projek The Exchange TRX dan Ketua Peruncitan Lendlease Malaysia, Mitchell Wilson pula berkata, perkembangan pusat beli-belah tersebut didorong oleh kerjasama dan sokongan daripada peruncit serta penaung.
“Ia tidak dapat dicapai tanpa penghubung, pemegang saham dan pekerja kami yang telah berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan, sama ada di dalam mahupun di luar,” katanya.
Sepanjang Julai ini, pengunjung Setia City Mall berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai sehingga RM50,000 apabila mereka berbelanja sebanyak RM380 dalam dua atau satu resit pada hari sama, selain menerima jersi istimewa.
Salah satu acara kemuncak sempena ulang tahun ke-10 Setia City Mall iaitu pada 30 Julai ini adalah acara larian yang bertujuan menyatukan masyarakat sekitar Lembah Klang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!