UMP-Alcon jalin kerjasama bangun inovasi kanta lekap
KUANTAN - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjalin kerjasama bersama sebuah syarikat, CIBA Vision Johor Sdn. Bhd (Alcon) dalam usaha membangunkan inovasi kanta lekap.
Kerjasama tersebut membabitkan aktiviti pembangunan penyelidikan (R&D), penempatan latihan industri serta program pertukaran staf dan pelajar universiti.
Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UMP, Profesor Dr Jamil Ismail berkata, melalui kerjasama itu dapat membantu meningkatkan kemahiran dan kecekapan serta berkongsi kepakaran dalam pembangunan penyelidikan khususnya potensi pemesinan laser untuk fabrikasi alat acuan kanta sentuh berbanding pemesinan konvensional.
Menurutnya, perjanjian itu akan menjadi penanda aras dalam hubungan universiti-industri dengan syarikat antarabangsa dalam skop penghasilan kanta lekap berteknologi tinggi.
“Alcon mengeluarkan pelbagai jenis kanta lekap Air Optix yang terkenal di dunia.
“Kedua-dua belah pihak telah bersetuju untuk bekerjasama dalam projek penyelidikan dan pembangunan modal insan selama tiga tahun," katanya pada Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung di Alcon di Pelabuhan Tanjung Pelepas Johor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!