Syazwan mahu semangat, kebangkitan KDA FC diteruskan
KEBANGKITAN dramatik Kedah Darul Aman (KDA) FC pada pentas Piala AFC 2022 sehingga berjaya muncul juara Kumpulan G perlu dikekalkan di samping meningkatkan lagi persefahaman di kalangan pemain.
Ketua pasukannya, Syazwan Zainon berkata, momentum itu perlu diteruskan pada perlawanan separuh akhir zon ASEAN bertemu PSM Makassar, 9 Ogos depan.
Menurutnya, semangat juang itu juga diharapkan akan dibawa pulang ke negara bagi meneruskan saingan di peringkat Liga Malaysia 2022.
"Aksi pertama kita tewas 2-0 kepada Bali United FC dan semua pihak termasuk jurulatih serta pemain melakukan sesuatu. Oleh itu kita bangkit menang 4-1 ke atas Kaya FC pada perlawanan kedua.
"Perlawananan akhir kumpulan dan menang besar 5-1 ke atas Visakha FC adalah satu kemenangan dramatik. Kita perlukan kemenangan dengan tiga gol ke atas pada semalam dan pemain menunjukkan karakter sebagai seorang pejuang," katanya pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Syazwan berkata, keserasian di kalangan pemain juga belum mencapai 100 peratus terutamanya dua pemain import baharu, Mahmoud Al Mardi dari Jordan dan Sanrawat Dechmitr dari Thailand.
Menurutnya, biarpun persefahaman masih perlu dipertingkatkan namun semua pemain tetap mahu membuktikan kehadiran KDA FC ke Bali bukan sebagai pasukan pelengkap sahaja.
"Pemain mahu membuktikan bahawa kita mampu tidak seperti yang dikatakan oleh segelintir penyokong bahawa kita akan pulang awal. Rezeki Allah bagi ini kita kena manfaatkan sebaik mungkin. Ini adalah perlawanan terbaik dipamerkan Sang Kenari setakat ini baik di pentas Piala AFC mahupun Liga Super," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!