Mat Sathis fasih berbahasa Melayu

Sathis Kumar ketika menyertai program anjuran FAMA Melaka.
Sathis Kumar ketika menyertai program anjuran FAMA Melaka.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Digelar 'Mat Sathis' atau 'Mohamad Sathis' dalam kalangan rakan sekerja, sedikit pun tidak mengguris hati lelaki India bernama R Sathis Kumar ini.

Sathis, 33, yang bekerja dalam bahagian pemasaran di Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka, senang hati menerima gelaran tersebut, sekali gus mengeratkan lagi hubungannya dengan rakan sekerja lain.

Katanya, gelaran itu diberikan kerana dia satu-satunya pekerja berbangsa India yang berkhidmat di agensi berkenaan.

"Hanya saya pekerja berbangsa India, manakala yang lain adalah Melayu.

Sathis Kumar (kiri) bersama keluarganya.
Sathis Kumar (kiri) bersama keluarganya.

"Tapi saya tak terpinggir atau dianaktirikan, malah dianggap sebagai anak emas," katanya.

Menurutnya, sejak berkhidmat dengan agensi berkenaan enam tahun lalu, dia seolah-olah berada dalam keluarga besar walaupun berbeza agama dan budaya dengan kakitangan lain.

"Sejak bekerja di sini, sedikit pun tak pernah rasa ada jurang antara pekerja lain, sebaliknya kami ibarat satu keluarga besar yang berada di bawah satu bumbung.

Artikel Berkaitan:

"Saya bernasib baik dan bersyukur dapat bekerja bersama masyarakat Melayu," katanya.

Sathis Kumar
Sathis Kumar

Bagaimanapun katanya, dia tetap mempunyai rakan daripada bangsa lain, antaranya Cina dan Iban.

Anak sulung daripada dua beradik ini berkata, kelebihan bekerja dalam bidang pemasaran membolehkan dia fasih bertutur dalam bahasa Melayu.

Katanya, di rumah dia bertutur dalam bahasa Tamil, tetapi dalam pertuturan seharian di tempat kerja dia menggunakan bahasa Melayu.

"Ramai pelanggan ingat saya Melayu tapi apabila melihat rantai di leher saya, baru mereka tahu saya bukan beragama Islam.

"Saya tak kisah, yang penting keharmonian pelbagai kaum ini buatkan kita dapat bekerja dalam suasana aman dan ceria," katanya.

Sathis Kumar (dua, kanan) bersama rakan sekerjanya yang berbangsa Melayu.
Sathis Kumar (dua, kanan) bersama rakan sekerjanya yang berbangsa Melayu.

Dalam pada itu, Sathis berkata, dia juga tidak mempunyai masalah menyertai program yang dianjurkan tempat kerjanya termasuk melibatkan agama Islam.

Katanya, selagi ia memberikan manfaat dan tidak bertentangan dengan agamanya, dia tiada masalah mengikuti program agama dianjurkan.

"Di tempat kerja, setiap Jumaat ada tazkirah atau ceramah agama, bila saya kelapangan atau tidak bekerja di luar selalunya saya akan mengikuti program berkenaan.

"Walaupun ia program keagamaan, namun ia tidak menjadi salah kepada saya untuk mendapat ilmu. Lagipun setiap agama memang mengajak ke arah kebaikan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!