Fenomena awan bergaris panjang dikenali 'garis badai'
KOTA KINABALU - Hujan lebat disusuli fenomena awan yang kelihatan berbentuk garisan panjang di sekitar Putatan dan Kota Kinabalu sehingga menimbulkan tanda tanya netizen di media sosial pada awal pagi Jumaat dikenali sebagai 'garis badai'.
Pengarah Meteorologi Sabah, Amirzudi Hashim menjelaskan bahawa garis badai yang melanda di kawasan pantai barat Sabah itu ialah barisan ribut petir bergerak yang panjangnya boleh mencapai sehingga ratusan kilometer dan tempoh hayat selama beberapa jam.
"Garis badai menghasilkan langkisau dan hujan lebat yang dahsyat serta meluas berbanding ribut petir individu.
"Garis badai yang berlaku pada awal pagi tadi mula terbentuk di Laut China Selatan berdekatan perairan Brunei pada awal subuh dan bergerak sepanjang Pantai Barat Sabah.
"Hujan mula direkodkan di Stesen Meteorologi Labuan bermula pada jam 5 pagi dan di Stesen Meteorologi Kota Kinabalu bermula pada jam 7 pagi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Katanya lagi, garis badai kerap dilihat ketika monsun Barat Daya di sepanjang pantai Sabah dan Sarawak yang menghadap Laut China Selatan serta barat Semenanjung Malaysia.
"Garis badai biasanya berlaku ketika menjelang subuh dan awal pagi. Namun, garis badai kadang kala boleh terbentuk pada waktu petang dan bergerak ke daratan seiring dengan angin lazim.
"Pada hari ini, angin barat daya berkelajuan antara 20-25 knots bertiup di persisiran pantai barat Sabah. Gabungan antara keadaan atmosfera yang panas dan lembab, bayu darat serta tiupan angin barat daya yang agak kencang menggalakkan pertumbuhan awan kumulonimbus di sepanjang pantai di barat Sabah.
"Keadaan atmosfera dan angin pada hari ini merupakan kondisi yang kondusif bagi pembentukan garis badai," katanya.
Sebelum itu, beberapa gambar yang dirakam orang ramai serta dimuat naik di media sosial yang memaparkan keadaan awan yang berbentuk garisan panjang di sekitar Kota Kinabalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!