Josue gembira bantu KL City lepas peringkat kumpulan
KAPTEN Kuala Lumpur City FC (KL City), Paulo Josue nyata gembira dengan kejayaan pasukannya yang berjaya mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir Zon Asia Tenggara dalam Piala AFC musim ini selepas menewaskan Tampines Rovers 2-1 di Stadium Bola Sepak KL.
Josue yang menjadi wira KL City selepas meledak dua gol ketika perlawanan terakhir kumpulan H itu bagaimanapun mengakui, masih banyak yang perlu diperbaiki oleh pasukannya dan akan menggunakan baki satu bulan dengan sebaiknya untuk mempersiapkan pasukan.
“Saya berasa sangat gembira selepas berjaya menjaringkan gol kerana itu adalah tugas saya untuk menjaringkan gol.
“Walaupun kami gagal untuk menjadi juara kumpulan, tapi kemenangan ini sudah cukup untuk kami mengesahkan kemaraan ke peringkat yang seterusnya.
“Untuk perlawanan seterusnya, Kami perlu terus fokus, banyak untuk kami perbaiki sebelum melangkah ke aksi berikutnya.
“Kami mempunyai sebulan lebih sebelum ke Vietnam dan penambahan pemain baru akan meningkatkan keyakinan pasukan kami di perlawanan seterusnya," katanya kepada media selepas perlawanan pada Khamis.
Pada peringkat separuh akhir zon Asia Tenggara Piala AFC, The Hawks dijangka bakal bertemu wakil Vietnam, Viettel FC dengan aksi yang berlangsung satu pusingan itu dijangka akan diadakan di Vietnam pada 10 Ogos depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!