Permohonan batal saman 1MDB didengar 19 Oktober
KUALA LUMPUR - Permohonan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy untuk membatalkan saman difailkan 1MDB terhadap mereka yang menuntut bayaran AS$6.59 bilion (AS$1 = RM4.29), akan didengar 19 Oktober ini.
Peguam, Lavinia Kumaraendran yang mewakili Mohd Irwan berkata, tarikh baharu itu ditetapkan selepas pihak defendan dan plaintif bersetuju untuk dua permohonan itu didengar serentak pada 19 Oktober di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Amarjeet Singh.
Peguam itu ketika dihubungi pada Jumaat berkata, pengurusan kes tersebut ditetapkan pada 16 Ogos.
Permohonan untuk membatalkan saman itu difailkan Arul Kanda bulan lepas manakala Mohd Irwan memfailkan permohonan pada 18 Februari.
Dalam permohonan itu, Mohd Irwan antaranya mendakwa tuntutan saman terhadapnya adalah pramatang kerana pelaburan Brazen Sky serta pembayaran Aabar Investments PJS Limited adalah jelas tidak kukuh memandangkan mahkamah masih belum menentukan 1MDB mengalami kerugian sebanyak AS$1.83 bilion dan AS$3.5 bilion.
Arul Kanda dan Mohd Irwan disaman 1MDB pada Mei tahun lepas berhubung dakwaan mereka telah melakukan pecah amanah dan konspirasi menyebabkan 1MDB mengalami kerugian berjumlah AS$1.83 bilion berhubung pelaburan dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd yang ditukar kepada pelaburan Brazen Sky Limited (Brazen Sky), yang dikatakan terdapat dalam Bridge Global Fund.
1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan itu melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyeleweng wang 1MDB berjumlah AS$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan AS$1.265 bilion dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017.
Menurut 1MDB, Mohd Irwan juga berkonspirasi dengan Arul Kanda untuk menyebabkan syarikat itu melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan dan membuat pembayaran berjumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda selaras dengan perjanjian tersebut tanpa menghiraukan kepentingan 1MDB sehingga menyebabkan syarikat berkenaan mengalami kerugian.
Sehubungan itu, 1MDB antaranya menuntut kedua-dua defendan membayar AS$6.59 bilion berhubung pelanggaran tersebut dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!