Sg Kim Kim: Sekolah bermula, tiada laporan pelajar trauma
PASIR GUDANG - Kesemua sekolah di Pasir Gudang memulakan proses pembelajaran dan pengajaran seperti biasa selepas cuti bencana yang bersambung dengan cuti penggal pertama berakhir, semalam.
Exco Pendidikan Johor, Aminolhuda Hassan melahirkan keyakinan kesemua pelajar tidak takut untuk hadir ke sekolah pasca insiden pencemaran kimia, dua minggu lalu.
"Pelajar di sekolah ini lebih 900 orang (913 orang) termasuk Tingkatan 6 Atas. Pelajar biasanya yakin dengan apa yang diputuskan pihak kerajaan terutamanya suasana setelah lebih dua minggu mereka berada di rumah, pusat saringan juga telah ditutup maknanya tiada lagi orang yang tercemar akibat udara kotor ini.
"Pemerhatian ini kita lihat sudah lebih seminggu. Saya yakin dan percaya mereka berani untuk datang ke sekolah dan tidak bermasalah tentang ketidakhadiran itu. Mungkin tak datang sebab isu lain," katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan hari pertama sesi persekolahan di SMK Pasir Gudang 2, hari ini.
Beliau turut memaklumkan setiap pelajar yang dimasukkan ke wad akan menerima pampasan daripada Takaful Malaysia sebanyak RM25 sehari.
Katanya, kerajaan negeri masih belum memutuskan untuk mengeluarkan pampasan kepada pelajar-pelajar yang terjejas akibat pencemaran kimia di Sungai Kim Kim.
Sementara itu, Pengetua SMK Pasir Gudang 2, Mahidah Kosnan berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai pelajar trauma atau takut untuk ke sekolah.
Namun pihaknya sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan.
"Ini masalah yang memang kita hadapi untuk hari Ahad dengan kehadiran 85 peratus ke bawah cuma hari ini memang ada sedikit kekurangan jumlah pelajar yang hadir.
"Tapi kita tak ada terima aduan dari PIBG dan ibu bapa ada anak-anak yang trauma atau takut untuk ke sekolah," katanya.
Katanya, semua pelajar dan guru perlu mempunyai semangat yang tinggi untuk mengejar silibus pengajian dan pembelajaran yang tergendala selama seminggu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!