Scam: Guru ditipu rugi RM113,000
KUANTAN - Seorang guru membuat pinjaman bank RM80,000 atas nasihat seorang ‘pegawai polis’ yang cuba membantu menyelesaikan kesnya setelah dikaitkan dengan kes besar termasuk kegiatan pengubahan wang haram mencecah RM1.5 juta.
Kerana ‘nasihat’ pegawai polis yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Narita, guru wanita berusia 51 tahun yang bertugas di sebuah sekolah di sini itu akhirnya berputih mata apabila kerugian RM113,000 selepas wang pinjaman bersama wang simpanan dalam dua akaun banknya lesap.
Mangsa yang terpedaya dengan helah sindiket penipuan didalangi tiga invidu yang menyamar sebagai pegawai bank dan pegawai polis menyerahkan segala maklumat banknya sebelum semua wang tersebut dipindahkan ke akaun milik suspek.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa hanya menyedari dia ditipu selepas rakannya yang bekerja di sebuah bank di sini membuat semakan dan mendapati semua wang dalam akaunnya sudah dipindahkan pihak lain.
Menurutnya, episod malang yang menimpa mangsa itu bermula apabila dia menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai sebuah bank di Seri Kembangan, Selangor memaklumkan tentang tunggakan bayaran pinjamannya.
“Seperti biasa, selepas mangsa menafikan tentang pinjaman itu, suspek menyambung panggilan ke seorang ‘pegawai polis’ berpangkat sarjan untuk memberikan keterangan sebelum dia ‘digertak’ kononnya terlibat dengan pengubahan wang haram RM1.5 juta.
“Bagi memperdaya mangsa, kes itu dirujuk kepada pegawai berpangkat inspektor dan pegawai tersebut bersedia untuk membantu menyelesaikan kes tersebut bagi mengelak dua akaun banknya dibekukan Bank Negara,” katanya.
Mohd Wazir berkata, mangsa dinasihatkan agar menukar nombor telefon yang didaftarkan dalam maklumat bank kepada nombor yang diberikan suspek dan dia mengikut seperti yang diarahkan tanpa menyedari helah licik sindiket penipuan tersebut.
“Setelah mangsa melakukan proses tersebut, dia dilarang membuat sebarang transaksi selama seminggu dan pada 21 Mac lalu, dia diarahkan supaya membayar wang jaminan RM80,000 bagi mengelak ditahan polis.
“Bagi tujuan itu, dia diarahkan supaya membuat pinjaman bank RM80,000 dan permohonannya telah diluluskan,” katanya.
Beliau berkata, suspek mengarahkan mangsa memindahkan wang pinjaman itu ke akaun banknya yang lain dan dia memindahkan sebanyak RM50,000.
“Bagaimanapun mangsa mula curiga dengan proses tersebut lalu menghubung rakannya yang bertugas di sebuah bank di sini untuk semakan dan mendapati wang dalam dua akaunnya itu sudah dipindahkan ke akaun lain.
“Susulan kejadian, mangsa mambuat laporan polis semalam selepas menyedari dia ditipu,” katanya.
Mohd Wazir berkata, susulan laporan diterima, pihaknya membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!