Aaron-Wooi Yik mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia
BEREGU lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2022 selepas menyingkirkan pasangan veteran Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan pada Jumaat.
Gandingan negara turun selaku pilihan kelima menyajikan aksi mendebarkan penonton di Arena Axiata bermula dengan baik apabila menguasai set pertama 21-13, namun pasangan The Daddies yang jelas berpengalaman dalam waktu genting menang set kedua dengan 22-20 untuk mengheret kepada set penentuan.
Pada set penentuan, Aaron-Wooi Yik yang berada di ranking keenam dunia, bermain dengan tenang serta mengelak daripada melakukan kesalahan mudah untuk menoktahkan kemenangan 21-19 sekali gus mengesahkan tempat ke separuh akhir esok.
Pasangan pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo itu akan berdepan pilihan kedua Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun.
Terdahulu, pasangan nombor dua dunia itu dipaksa bermandi peluh sebelum menyingkirkan Choi Sol Gyu-Kim Won Ho dari Korea Selatan 21-14, 21-23, 21-14 dalam satu lagi saingan suku akhir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!