Teka-teki berakhir, Salah sambung kontrak
PENYERANG sensasi Liverpool, Mohamed Salah mengakhiri teka-teki dalam kalangan para penyokong The Reds apabila melanjutkan khidmat bersama kelab Merseyside itu, kata kelab Liga Perdana Inggeris tersebut.
Malah penyerang Mesir itu bertekad membawa lebih banyak kejuaraan ke Anfield selepas menemui kesepakatan bersama dengan pengurusan kelab kendalian Jurgen Klopp itu.
“Sejujurnya saya berasa hebat dan teruja untuk memenangi trofi bersama kelab. Ia adalah hari yang paling bahagia untuk semua orang yang berkaitan dengan Kelab Bola Sepak Liverpool.
“Ya, saya akui memerlukan sedikit masa untuk memperbaharui, tetapi kini segala-galanya telah selesai jadi kami hanya perlu fokus pada perkara seterusnya,” kata Salah.
The Reds tidak menyatakan secara terperinci kandungan kontrak, namun difahamkan Salah menandatangani perjanjian hingga 2025.
Untuk rekod, Salah, telah menjaringkan 156 gol dalam 254 penampilan untuk Liverpool, telah memasuki tahun terakhir kontraknya sebelum ini dengan perbincangan terhenti berhubung tuntutan gaji pemain berusia 30 tahun itu.
Sejak menyertai Liverpool dari kelab Serie A Itali, AS Roma pada 2017, Salah telah menjadi bahagian penting dalam pasukan Klopp, membantu menjadikan The Reds sebagai pesaing tumpuan dan konsisten untuk kejayaan domestik dan Eropah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!