Pertimbang geran tahunan kepada peranakan Cina Kelantan

Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman (lima dari kanan) bersama Pengerusi PPCK, Lim Kham Hong (enam dari kanan) dan barisan kenamaan memotong kek sempena ulang tahun PPCK ke-33 di Kota Bharu pada Jumaat.
Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman (lima dari kanan) bersama Pengerusi PPCK, Lim Kham Hong (enam dari kanan) dan barisan kenamaan memotong kek sempena ulang tahun PPCK ke-33 di Kota Bharu pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mempertimbangkan untuk memberi bantuan geran tahunan kepada Persatuan Peranakan Cina Kelantan (PPCK) bagi pembangunan Galeri PPCK di Tanah Merah.

Exco Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Kelantan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman berkata, nilai geran tahunan tersebut bagaimanapun akan dibincangkan dan diperhalusi mengikut keperluan persatuan peranakan berkenaan.

Menurutnya, pertimbangan pemberian geran tersebut bertujuan memelihara warisan peranakan Cina negeri Kelantan supaya kekal berterusan dari generasi ke generasi.

“Kita bersetuju mempertimbangkan untuk memberi geran tahunan kepada PPCK bagi merancakkan pembangunan galeri peranakan itu yang dibangunkan di Tanah Merah sebagai ikon mereka.

“Galeri tersebut menjadi salah satu tarikan pelancong dalam dan luar negara yang ingin melihat sendiri keunikan kebudayaan dan adat resam hidup peranakan Cina di negeri Kelantan,” katanya pada ucapan perasmian Majlis Makan Malam Amal PPCK Sempena Ulang Tahun ke-33 di sebuah hotel di sini pada Jumaat.

Turut hadir Pengerusi PPCK, Lim Kham Hong.

Md Anizam berkata, masyarakat Cina di Kelantan unik kerana proses pencampuran dengan masyarakat Melayu sekitar yang akrab sehingga melahirkan masyarakat peranakan Cina Kelantan.

“Perkongsian ini berlaku dalam segenap aspek kehidupan termasuk bahasa, makanan, pakaian dan hiburan yang mewujudkan semangat antara kaum serta wajar dipelihara dengan sebaiknya.

“Kerajaan sentiasa menyokong usaha memelihara warisan peranakan Cina Kelantan dalam langkah mengekalkan perpaduan dalam kalangan rakyat dan mengalu-alukan perbincangan sekiranya memerlukan apa-apa bantuan,” katanya.

Sementara itu, Kham Hong berkata, PPCK yang dikenali sebagai ‘puak Cina kampung’ sudah berusia lebih 33 tahun yang kini mempunyai 2,230 ahli berdaftar di seluruh negeri Kelantan.

“Visi PPCK adalah memperkasakan semangat peranakan dan pemurnian warisan untuk memartabatkan peranakan Cina di negeri Cik Siti Wan Kembang dengan slogan 'we love Chinese peranakan, we are united and friendly, we live in peace and harmony in Kelantan, we are proud of peranakan heritage'.

“PPCK juga berharap kerajaan negeri dapat mengiktiraf Kampung Pasir Parit, Pasir Mas sebagai sebuah kampung peranakan disertakan dengan peruntukan dan kemudahan-kemudahan yang bersesuaian,” katanya.

Ujarnya, PPCK juga akan menganjurkan Festival Warisan Seni Budaya Peranakan Cina Kelantan pada Ogos ini menerusi dana RM250,000 daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!