Penduduk gesa baik pulih tebing runtuh
MELAKA - Penduduk Pangsapuri Bukit Piatu dan Taman Setia Jaya di sini menggesa pihak terbabit agar mempercepat kerja-kerja baik pulih tebing di kawasan itu yang runtuh pada 23 Jun lepas.
Pengerusi Penduduk Pangsapuri Bukit Piatu, Lim Kong Hock berkata, ketika ini cerun runtuh itu hanya ditutupi kanvas sekali gus menimbulkan kerisauan pada lebih 250 penduduk di situ, khususnya penghuni Blok G dan H yang tinggal kurang lima meter daripada lokasi.
Apatah lagi dengan cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini, katanya penduduk tidak tidur lena kerana bimbang sesuatu tidak diingini berlaku terutama pada waktu malam.
"Malah sebahagian tembok sebuah rumah teres di bawah pangsapuri ini turut terkena (runtuhan) dan rosak. Penghuni tersebut sudah berpindah sementara atas faktor keselamatan," katanya ketika ditemui pemberita.
Menurut Lim, tembok konkrit di cerun setinggi hampir 10 meter itu runtuh bersama bongkahan batu dan tanah merah pada kira-kira jam 6.30 petang ketika hujan lebat.
Katanya, penduduk tidak berasa selamat memandangkan kawasan runtuhan hanya ditutupi kanvas sedangkan tembok konkrit penahan tebing itu sudah senget dan sebahagiannya sudah pecah akibat impak dihempap bongkah batu."Sebelum ini ada berlaku paip pecah dan kini hujan selalu turun dengan lebat. Jadi (kami) bimbang rekahan yang sedia ada dan aliran air bawah tanah akan lebih memburukkan keadaan jika proses baik pulih dilewatkan," katanya.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelasaran Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Bukit Katil, Senator Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, siasatan terperinci telah dilakukan pihak terbabit termasuk Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
"Maklum balas terkini adalah pihak berkenaan sedang bekerjasama dengan syarikat perunding untuk membuat satu reka bentuk terbaik membaiki runtuhan tebing ini.
"Malah pada hari kejadian, JKR sendiri sudah memeriksa aspek keselamatan pangsapuri berkenaan dan mendapati ia selamat untuk diduduki serta tiada keperluan untuk berpindah sementara," jelasnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!