Selangor kekal penyumbang terbesar KDNK
KUALA SELANGOR - Selangor kekal sebagai sebuah negeri maju dan moden serta mencatat prestasi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) terbaik di peringkat nasional.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, laporan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan Selangor sebagai penyumbang terbesar apabila mencatatkan pertumbuhan 24.8 peratus.
Menurutnya, meskipun diancam pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain tragedi banjir, namun Selangor kekal unggul menyumbang kepada pendapatan negara.
"Pada tahun 2016/2017 menyumbang 24 peratus, pada 2018/2019 pula pada kadar 24.5 peratus dan setiap tahun ia menunjukkan trend peningkatan sehingga kini," katanya ketika berucap sempena program Jelajah Selangor Penyayang Peringkat Daerah Kuala Selangor di Stadium Kuala Selangor di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut dalam sidang media, Amirudin memberitahu, prestasi pertumbuhan KDNK itu disumbangkan dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan.
Katanya, dua sektor itu penyumbang terbesar terutama dalam keadaan negara berdepan pandemik Covid-19.
Beliau memberitahu, sebanyak 60 peratus pertumbuhan ekonomi Selangor disumbangkan sektor perkhidmatan dan 30 peratus lagi sektor perkhidmatan.
Katanya, selain itu prestasi pembangunan di negeri Selangor menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.
"Trend pembangunan di Selangor juga melangkaui lima peratus lebih tinggi daripada Persekutuan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!