Kerajaan wujud saluran komunikasi mudah untuk maklumat inflasi
KOTA BHARU - Kerajaan akan mewujudkan medium komunikasi terbaik termasuk laman sesawang bagi memastikan penyaluran maklumat berkaitan situasi semasa inflasi dalam negara sampai kepada rakyat.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara tersebut dijangka dibincangkan dalam mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi akan datang.
Katanya yang juga Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, kementerian itu menerima maklum balas daripada peniaga mengatakan pengguna kurang mendapat penjelasan berkaitan isu harga barangan.
“Kami mendapat maklum balas bahawa pembeli tidak faham berkaitan harga siling ayam RM9.40 ditetapkan oleh kerajaan bagi ayam standard yang boleh dicam melalui kuku dan isi perut berbeza dengan ayam yang sudah dibersihkan dijual lebih mahal dengan harga RM10.20.
“Sedang melihat untuk mewujudkan bentuk komunikasi lebih berkesan, sama ada laman sesawang sendiri, talian aduan atau rangkaian lebih baik bagi memastikan rakyat dapat melihat perkara-perkara dilakukan kerajaan dan membolehkan mereka mengutarakan pandangan serta pendapat terhadap isu berkaitan harga sesuatu barangan setiap hari,” katanya kepada pemberita ketika tinjauan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di Pasar Siti Khadijah di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata, sebelum ini, kementerian sudah menerima cadangan berkaitan bagi memudahkan Keluarga Malaysia terdiri daripada 50,000 individu dapat menyemak kenaikan harga barangan di peringkat akar umbi di seluruh negara.
“Medium ini akan dapat memberi penjelasan supaya pengguna lebih memahami dan kerajaan mendapat maklum balas orang ramai secara langsung di peringkat akar umbi,” katanya.
Sementara itu, Annuar berkata, bekalan ayam mentah semasa dalam negara mulai pulih dan mencukupi selain peniaga mematuhi harga siling ditetapkan.
“Tindakan kerajaan melakukan intervensi dengan memberikan subsidi dan menetapkan harga siling terhadap ayam mentah memberi kesan sangat baik dan ke arah memulihkan keadaan seperti sedia kala.
“Kami berharap situasi ini berkekalan dan kementerian akan terus melakukan penambahbaikan bagi memastikan bekalan ayam mentah sentiasa mencukupi untuk menampung permintaan dalam negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!