KUALA SELANGOR - Bukan sahaja datang untuk minum, malah pelanggan turut disajikan tarian pentas yang menjolok mata. Itulah 'kemeriahan' sebuah pusat hiburan terletak di Jalan Pening Sula Utama, Peningsula Park, di sini, yang menyediakan layanan manja gadis pelayan pelanggan (GRO). Namun, kegiatan premis yang beroperasi di sebalik deretan rumah kedai itu berjaya dikesan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menerusi Ops Noda, awal pagi tadi. Ketua Operasinya, Asisten Superintendan Rozam Effandy Raslee berkata, operasi kira-kira jam 1 pagi berjaya membuat tangkapan lima individu membabitkan tiga wanita warga asing disyaki GRO serta dua lelaki tempatan merupakan pekerja serta penjaga premis. "Semakan mendapati dua wanita terbabit merupakan warga Thailand, manakala seorang lagi warga Laos. "Turut ditahan bagi bantu siasatan adalah dua wanita tempatan merupakan penari di premis terbabit," katanya kepada Sinar Harian. Beliau berkata, siasatan mendapati premis tidak berlesen ini beroperasi dengan menyediakan tarian selain kalungan bunga oleh GRO terbabit di atas pentas. GRO ini juga akan berjalan ke arah pelanggan untuk mendapatkan tip sekitar RM50 hingga RM100. Katanya, pelbagai barang telah dirampas antaranya alatan muzik, kalung bunga, mahkota serta wang tunai. Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen dan Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Selangor 1995.