Botman tidak sabar mulakan pengembaraan baharu
TONGGAK pertahanan baharu Newcastle United, Sven Botman mengakui tidak sabar untuk memulakan cabaran baharu bersama The Magpies selepas melengkapkan perpindahannya dari kelab Ligue 1 Perancis, Lille.
Beliau mengakui sangat teruja dan tidak sabar untuk memulakan pengembaraan baharu ini dalam saingan paling kompetitif bola sepak dunia ini.
“Ini hari terbaik dalam hidup saya apabila dapat melengkapkan kontrak dengan Newcastle United. Semua ini hasil kerja keras dan usaha gigih selama ini, ya saya amat teruja.
“Newcastle United mempunyai rancangan jangka panjang untuk saya dan kelab. Mereka bermain di Liga Perdana Inggeris yang merupakan liga terbaik di Eropah.
“Ya, keseluruhan pakej adalah sempurna menyebabkan saya tidak sabar untuk bertemu peminat dan juga rakan sepasukan baharu saya,” kata pemain dari Belanda tersebut.
Untuk rekod, Newcastle United telah melengkapkan pembelian pemain pertahanan Belanda itu dengan kontrak lima tahun, menurut kelab Liga Perdana Inggeris itu pada Jumaat.
Biarpun butiran bayaran tidak didedahkan, namun media tempatan melaporkan bahawa pemain berusia 22 tahun itu direkrut dengan harga 35 juta pound (RM187.50 juta).
Sementara itu, pengendali The Magpies, Eddie Howe berkata, “Saya gembira Botman menyertai keluarga besar Newcastle United. Dia sangat sempurna dari aspek teknikal, dari segi fizikal juga sangat baik dan mempunyai sikap yang hebat.
“Pada usia 22 tahun, dia sudah mempunyai pengalaman beraksi di peringkat teratas, dan dia berada pada usia yang hebat untuk berkembang bersama pasukan ini. Saya tidak sabar untuk bekerja dengannya dan melihatnya bersama rakan sepasukan baharunya.”
Botman adalah pembelian ketiga The Magpies, selepas penjaga gol England, Nick Pope dan pemain pertahanan, Matt Targett, memenangi gelaran Ligue 1 2020-21 bersama Lille sepanjang dua musim di Perancis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!