Kenang jasa veteran ATM, naikkan elaun RM500 sebulan
PASIR GUDANG - Kerajaan wajar menaikkan elaun bulanan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen daripada RM300 kepada RM500 memandangkan kos sara hidup kini sudah meningkat.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, elaun yang diterima mereka ketika ini kecil sedangkan harga barang keperluan harian sudah naik selain ramai sudah tidak bekerja lagi.
Menurutnya, terdapat kira-kira 200,000 veteran ATM tidak berpencen di seluruh negara dan rata-ratanya merupakan warga emas.
"Pesara atau veteran tidak berpencen ini telah berkhidmat pada tahun 60-an, 70-an dan 80-an pada zaman Malaysia menghadapi ancaman bersenjata dari Parti Komunis Malaya.
"Rata-rata veteran ATM tidak berpencen ini sekarang berumur lebih 60 tahun. Kebanyakannya menghadapi masalah kewangan dalam kehidupan dan masalah kesihatan. Bantuan kebajikan daripada kerajaan amat diharapkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bertemu dengan anggota Persatuan Veteran ATM Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM) Cawangan Pasir Gudang di Taman Desa Perwira di sini pada Sabtu.
Hassan berkata, ketika ini Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM hanya memberi elaun kos sara hidup secara berpilih dan amat terhad kepada mereka yang dikategorikan sebagai amat daif dan miskin.
Katanya, kerajaan harus mendengar keluhan mereka sekali gus mengenang sumbangan serta jasa besar golongan itu terhadap negara.
"Keamanan negara sekarang dan kemewahan hidup yang dinikmati sesetengah golongan rakyat istimewa di Malaysia kini adalah hasil pengorbanan jiwa dan raga termasuk nyawa para perajurit dan tentera ATM.
"Kerana itu adalah tanggungjawab kerajaan yang berkuasa sekarang untuk menolong golongan veteran tersebut yang kebanyakannya hidup dalam keadaan susah," katanya.
Menurutnya, terdapat 100 veteran ATM tidak berpencen di Pasir Gudang dan mereka juga memohon kerajaan menaikkan elaun yang diterima secara automatik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!