Kluster ILI di Perak terkawal
IPOH - Sebanyak 26 kluster Penyakit Seperti Influenza (ILI) yang dikesan di beberapa institusi pendidikan di tujuh daerah di Perak berada dalam keadaan terkawal.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, langkah kawalan jangkitan telah diambil oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dengan membuat beberapa proses penilaian dan pemantauan.
"Ia bagi memastikan ILI tidak terus tersebar dan dapat mengawal punca di peringkat awal.
"Keadaan terkini kluster-kluster ILI adalah terkawal namun, pemantauan masih diteruskan.
"Janganlah ibu bapa merasa takut untuk habtar anak ke sekolah kerana ILI," katanya selepas merasmikan pembukaan Akademi Bina Insan (ABI) iGuru Perak di Taman Ampang Baru di sini pada Sabtu.
Ahmad Saidi berkata, ibu bapa juga diingatkan untuk selalu peka dengan tahap kesihatan anak-anak mereka agar tidak menjangkiti pelajar lain.
"Awasilah jika anak-anak ada simptom dan bawalah ke klinik untuk pemeriksaan lanjut. Kita tidak boleh beranggapan segala simptom ini adalah demam biasa.
"Pelajar juga diingatkan supaya memaklumkan kepada warga pendidik kalau mempunyai simptom, begitu juga pelajar di asrama, kami minta ibu bapa bawa pulang pelajar tersebut untuk dikuarantin bagi menjaga kesihatan pelajar-pelajar lain," katanya.
Media melaporkan sebanyak 35 kluster ILI direkodkan di Perak sejak Januari lalu dengan 26 kluster masih aktif yang melibatkan institusi pendidikan.
Kinta merekod enam kluster, tertinggi berbanding daerah lain iaitu Kuala Kangsar, Hulu Perak, Batang Padang, Kampar, Muallim dan Perak Tengah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!