BN Sabah entiti gabung parti politik: Ahmad Zahid
PENAMPANG - [DIKEMAS KINI] Barisan Nasional (BN) Pusat akan meletakkan BN Sabah sebagai suatu entiti yang bakal menggabungkan beberapa parti politik di negeri ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia adalah kesinambungan daripada pindaan daripada Perlembagaan UMNO yang telah memberikan autonomi kepada UMNO Sabah sebelum ini.
Menurutnya, pada 20 November 2020, Dewan Tertinggi BN telah memutuskan supaya BN Negeri Sabah dikenali sebagai BN Sabah dan beberapa perkara di dalam Perlembagaan BN telah memperuntukkan klausa dalam perkara yang berkaitan dengan BN Sabah.
"Ia adalah untuk meletakkan BN Sabah sebagai suatu entiti yang akan menggabungkan beberapa parti politik di Sabah yang mahu terus bersama dengan BN Sabah, selain daripada parti teras di Sabah ini iaitu UMNO dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) bagi membentuk BN Sabah.
"Perkara ini akan dibawa ke Dewan Tertinggi BN Malaysia untuk kita lakukan keabsahan. Tujuan kita melakukan demikian berikutan pindaan perlembagaan UMNO sendiri yang telah memberikan autonomi kepada UMNO Sabah dan untuk kesinambungan terhadap kuasa autonomi BN Sabah diwujudkan biarpun BN Sabah tidak setaraf dengan autonomi yang diberikan kepada BN Sabah," katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutupan Konvensyen BN Sabah di Pusat Komersial dan Teknologi Antarabangsa (ITCC) di sini pada Sabtu.
Menurut Ahmad Zahid, diharap kepimpinan BN Sabah termasuk Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin dapat menyusun pelbagai langkah bersesuaian dengan landskap politik di negeri ini.
"Kita faham landskap politik dan situasi politik di Sabah yang sangat dinamik. Maka sebarang perubahan yang sedang dan akan berlaku dalam landskap politik ini akan disesuaikan oleh kepimpinan BN Sabah.
"Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Timbalan Pengerusi BN dan saya sendiri akan terus memantau terhadap perkembangan terbaharu dalam kedinamikan politik Sabah.
"Kami telahpun menyusun selepas konvensyen ini untuk pemimpin Pusat bersama dengan pemimpin BN Sabah turut keenam zon di Sabah ini bagi memantapkan jentera pilihan raya Sabah dari semua parti-parti teras dan saya yakin tentunya selain PBRS, kita ada MCA dan MIC Sabah," katanya.
Sebelum itu, Ahmad Zahid turut mendedahkan bahawa terdapat empat parti memohon untuk menyertai BN di peringkat Pusat dan ini membuktikan kebangkitan semula BN.
"Terdapat empat parti yang memohon untuk menyertai BN, saya tidak ingin menyebut adakah parti itu antara yang datang dari Sabah atau negeri-negeri lain, cukup saya nyatakan sekarang bahawa dengan kebangkitan semula BN ini menerusi permohonan parti lain memperlihatkan bahawa kita sedang menyusun semula organisasi BN secara keseluruhannya.
"Ia juga disesuaikan dengan landskap politik Sabah dan kita amat yakin apa juga perkembangan yang berlaku ia akan mengambil kira faktor-faktor politik di Sabah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!