'Kami berkumpul bukan nak lawan kerajaan'
KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu mengambil berat isu kenaikan pelbagai harga barangan yang membebankan rakyat.
Presiden Persatuan Belia Harmoni Malaysia, Huzayl Mohd Noor Sia berkata, kenaikan harga beberapa barangan asas seperti minyak masak dan ayam jelas membebankan terutama kepada golongan berpendapatan rendah (B40).
Menurutnya, golongan mahasiswa juga terkesan dan mahu membawa suara rakyat secara keseluruhannya untuk didengari kerajaan.
"Kami berkumpul hari ini bukan nak lawan kerajaan.
Kami berkumpul kerana hendak beritahu bahawa kenaikan walaupun RM1 itu beri kesan kepada makanan seharian setiap keluarga.
"Pak menteri mungkin tidak kisah minyak naik dari RM20 kepada RM40, tetapi rakyat apatah lagi B40 amat merasai kepayahan tersebut," katanya ketika berucap dalam program Speakers Corner anjuran Gabungan Gerakan Mahasiswa di pekarangan Pasar Seni pada Sabtu.
Seramai 200 orang hadir terdiri daripada mahasiswa dan orang awam ke program tersebut.
Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhammad Aliff Naif berkata, kerajaan diberi tempoh sekurang-kurangnya dua minggu untuk memberikan respon kepada lima tuntutan yang dibawa oleh Gabungan Gerakan Mahasiswa.
Beliau berkata, tuntutan tersebut perlu diambil perhatian oleh kerajaan dan jika tidak, gerakan tersebut akan mengambil tindakan drastik untuk turun mengadakan demonstrasi di jalan raya.
"Satu pesanan saya kepada kerajaan, jika tuntutan kami tidak dilayan, ini bukan kali terakhir kamu akan nampak kami di sini dan ini bukan kali terakhir kami akan bersuara," katanya.
Lima tuntutan yang dituntut oleh Gabungan Gerakan Mahasiswa ialah gaji menteri perlu dipotong, mengekalkan subsidi, menuntut bantuan yang bermaruah dapat diberikan kepada semua lapisan masyarakat, mengawal harga barangan dan menyelesaikan masalah jaminan makanan (food security).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!