Sentiasa bincang strategi percepatkan pembangunan pemain
BARISAN kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sentiasa bekerja keras untuk melahirkan jaguh perseorangan lelaki negara yang mampu memberi cabaran di peringkat antarabangsa.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM, Wong Choong Hann berkata, pihaknya juga sentiasa bekerjasama rapat dengan Pengarah Pembangunan Remaja, Datuk Misbun Sidek dalam menjayakan misi itu.
“Kami selalu bekerjasama dan membincangkan strategi untuk mempercepatkan proses pembangunan pemain. Walaupun kami ada fokus yang tersendiri, namun kami ada buat latihan bersama yang dijalankan secara dalaman.
“Ia sebahagian proses, dan memang keputusan akhir masih belum dapat dilihat. Namun ia sesuatu yang giat lakukan secara berterusan,” katanya yang ditemui pemberita ketika separuh akhir kejohanan Terbuka Malaysia di Arena Axiata pada Sabtu.
Dengan lapan pemain perseorangan muda berada di bawah naungan BAM buat masa ini, hanya Ng Tze Yong yang berusia 22 tahun yang dilihat mampu menjadi sandaran utama negara.
Namun, bintang muda tersebut belum sampai ke tahap untuk menggantikan Lee Zii Jia yang meninggalkan BAM untuk menjadi pemain profesional pada Februari lalu.
Sebelum ini, Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria meminta barisan kejurulatihan supaya melahirkan lebih banyak jaguh perseorangan lelaki yang mampu mencabar pingat di kejuaraan utama, serta mengurangkan kebergantungan kepada Zii Jia.
Tambah Choong Hann, antara pemain muda di bawah kendalian Misbun yang menarik perhatian pihaknya pada masa ini adalah Justin Hoh, yang menjuarai Terbuka Bonn dan Croatia baru-baru ini.
“Justin menunjukkan komitmen dan tahap konsisten dalam sesi latihan sejak terpilih ke Akademi Badminton Malaysia, begitu juga cintanya terhadap sukan ini apabila diterjemahkan dalam beberapa kejohanan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!