Tiada caj pemotongan dikenakan
ALOR SETAR - Peniaga ayam di sekitar kawasan Alor Setar sudah tidak mengenakan caj pemotongan ayam selepas kerajaan menetapkan harga siling RM9.40 bermula Jumaat lalu.
Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn Bhd (Ayam Bismi), Mazlina Kamarudin berkata, sebelum ini pihaknya mengenakan caj pemotongan sebanyak 50 sen untuk seekor ayam dengan harga jualan ayam segar RM8.90 sekilogram.
“Tetapi mulai Jumaat kita jual pada harga RM9.40 sekilogram tanpa sebarang caj tambahan lain,” katanya.
Menurutnya, penetapan harga siling berkenaan membuktikan kerajaan mampu membuat keputusan yang adil bagi penternak dan pembeli.
“Ini adalah usaha baik untuk terus mengekalkan industri penternakan ayam negara, kita tidak mahu ayam dijual murah tapi industri penternakan ayam tidak boleh bertahan,” katanya.
Peniaga ayam, Wan Mohamad Afiq Wan Ahmad Fauzi, 25, berkata, dia turut menjual ayam pada harga yang disarankan kerajaan tanpa sebarang caj pemotongan.
“Sebelum ini saya menjual ayam pada harga RM8.90 sekilogram juga tanpa sebarang caj tambahan, dan Insya-ALLAH harga siling yang baharu ini juga tidak akan membebankan pembeli,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!