11,000 karton rokok seludup dirampas

Lori membawa muatan 11,000 karton rokok seludup yang dirampas di Ketereh, Kota Bharu pada Sabtu.
Lori membawa muatan 11,000 karton rokok seludup yang dirampas di Ketereh, Kota Bharu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis menahan dua lelaki dan merampas sebanyak 11,000 karton rokok seludup dengan keseluruhan rampasan yang dianggarkan bernilai RM1.8 juta di Ketereh di sini pada Sabtu.

Serbuan yang dilakukan pada jam 6.30 petang itu membabitkan penahanan dua suspek lelaki yang berusia 20-an dan 30-an.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, serbuan dilakukan sepasuan polis dari Cawangan D9, Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kelantan ke atas sebuah lori jenis Isuzu dan sebuah kereta jenis Toyota Vios di tepi jalan berhampiran simpang tiga lampu isyarat bandar Ketereh di sini.

“Hasil pemeriksaan ke atas lori menjumpai 11,000 karton berjenama yang disyaki diseludup dan tidak bercukai, namun pemeriksaan ke atas kereta tidak menemui barangan salah.

“Kedua-dua pemandu lori dan kereta tersebut bagaimanapun ditahan untuk siasatan serta kesemua barang kes dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini pada Sabtu.

Ujarnya, keseluruhan rampasan adalah rokok seludup sebanyak 11,000 karton, lori jenis Isuzu, sebuah kereta jenis Toyota Vios dan lima unit telefon bimbit.

“Keseluruhan nilai rampasan tersebut dianggarkan berjumlah RM1.8 juta.

“Kedua-dua suspek berasal dari Kuala Lumpur dan semakan mendapati mereka tiada rekod lampau,” katanya.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mereka adalah negatif dadah tetapi kedua-duanya akan direman untuk siasatan lanjut.

“Kejayaan ini adalah hasil risikan dan perancangan rapi Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan serta strategi pengukuhan lapisan kedua penguatkuasaan pemantauan sempadan yang dimulakan sejak dua bulan lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!